THE HAGUE, 7 APRIL – Persekutuan bola sepak Belanda kelmarin berkata perlawanan akan dibatalkan jika terdapat pengulangan insiden yang menghentikan separuh akhir Piala Belanda antara Ajax dan Feyenoord apabila seorang pemain cedera akibat dibaling pemetik api dari tempat duduk.
Kerajaan Belanda juga berjanji akan menjalankan penyiasatan peringkat tertinggi ke atas perlawanan itu. Perlawanan pada hari Rabu dihentikan hampir 30 minit selepas pemain tengah Ajax, Davy Klaassen terkena pemetik api di kepala.
Sepak mula telah ditangguhkan kerana peminat membakar bunga api. Terdapat juga nyanyian anti-semitik.
Polis kelmarin berkata mereka telah menahan 22 orang, termasuk seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki membaling pemetik api.
Persekutuan Bola Sepak Belanda (KNVB) kelmarin mengumumkan langkah-langkah untuk mengelakkan insiden keterlaluan seperti itu berulang lagi.

“Sekiranya pemain atau pengadil terkena objek daripada penonton, pengadil akan segera menamatkan perlawanan,” kata KNVB dalam satu kenyataan.
“Kami sudah muak dengan kelakuan seperti ini.”
Kesatuan polis Belanda sebelum ini memberitahu akhbar tabloid, Algemeen Dagblad bahawa pengadil sepatutnya menghentikan perlawanan sama sekali.
“Tingkah laku buruk seperti itu tidak sepatutnya diberi ganjaran,” kata kesatuan itu.
Permainan antara Amsterdam dan Rotterdam sering menjadi punca tercetusnya perbalahan tetapi terdapat peningkatan insiden keganasan bola sepak di Belanda sejak akhir-akhir ini. – AFP

