Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belanda larang syarikat bergantung semata-mata pada chatbot

    THE HAGUE, 2 OKT – Pihak berkuasa Belanda hari ini mengingatkan syarikat dan organisasi supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada chatbot untuk berhubung dengan pengguna, dengan menyifatkan penggunaannya sebagai antara ‘gangguan terbesar’ yang dihadapi pelanggan.
     
    “Organisasi yang menggunakan chatbot dalam perkhidmatan mereka perlu sentiasa menyediakan pilihan kepada orang ramai untuk berhubung dengan wakil manusia,” kata Pihak Berkuasa Perlindungan Data Belanda (AP) dalam satu kenyataan. Menurut AP, firma juga perlu memastikan pengguna dimaklumkan mereka sedang berinteraksi dengan chatbot serta mengelakkan pemberian jawapan yang mengelirukan atau tidak tepat.
     
    Badan pemantau itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan memberi amaran pihak pengawal selia sedang meneliti peraturan yang lebih ketat.
     
    “Chatbot kini menjadi saluran utama komunikasi dan ruang untuk berhubung dengan manusia semakin lenyap,” jelas AP dalam laporan baharu.
     
    Laporan itu juga menyatakan teknologi chatbot yang semakin maju menyebabkan pengguna sukar membezakan sama ada mereka berhubung dengan manusia atau mesin.
     
    Selepas berdepan pengalaman mengecewakan dengan chatbot, pengguna kerap kali tidak dirujuk kepada pegawai manusia, sebaliknya diarahkan semula kepada chatbot lain, sekali gus menambah tahap kekecewaan, menurut AP. – AFP
     
    Gambar ilustrasi menunjukkan ikon aplikasi AI pada skrin telefon pintar di Oslo, pada 12 Julai 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda