THE HAGUE, 14 JULAI – Belanda akan keluar mengundi pada 22 November untuk memilih parlimen baharu berikutan kejatuhan kerajaan Perdana Menteri Mark Rutte seminggu yang lalu, kabinet sedia ada mengumumkan hari ini.
“Pilihan raya Dewan Rakyat akan diadakan 22 November. Ini diputuskan oleh kabinet atas saranan Menteri Dalam Negeri, Bruins Slot,” kata kabinet Rutte dalam satu kenyataan.
Gabungan empat parti Rutte runtuh pada Jumaat lalu selepas pertikaian mengenai rancangan pemimpin Belanda itu untuk memperketat sekatan ke atas penyatuan semula keluarga dengan pencari suaka.
Rakan gabungan terkecil, ChristenUnie – sebuah parti Demokrat Kristian yang mendapat sokongan utamanya daripada puak Protestan ‘Bible Belt’ di tengah Belanda – dan parti D66 telah menentang keras rancangan Rutte.
“Dalam memilih tarikh ini, masa persediaan bagi parti politik, keboleh-laksanaan bagi majlis perbandaran dan persiapan oleh Majlis Pilihan Raya telah diambil kira,” kata kabinet tersebut.
Rutte sendiri berkata beliau akan meninggalkan politik berikutan kejatuhan tersebut, selepas 13 tahun memegang tampuk pemerintahan. – AFP


