THE HAGUE, 20 DIS – Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte secara rasmi memohon maaf berhubung pembabitan negara itu selama 250 tahun dalam perhambaan, dan menyebutnya sebagai ‘jenayah terhadap kemanusiaan’.
Permohonan maaf itu dibuat hampir 150 tahun selepas tamatnya perhambaan di tanah jajahan seberang laut negara Eropah itu, termasuk Suriname di Amerika Selatan, Indonesia di timur dan pulau Caribbean seperti Curacao dan Aruba.
Aruba menjadi bekas tanah jajahan Belanda yang pertama memberikan reaksi terhadap permohonan maaf itu. Perdana Menteri Aruba, Evelyn Wever-Croes menerima permohonan maaf itu, namun negara lain kesal kerana kekurangan tindakan atau dialog yang kukuh.
“Hari ini, bagi pihak kerajaan Belanda, saya memohon maaf atas tindakan masa lalu negara Belanda,” kata Rutte dalam ucapan, mengulangi permohonan maaf dalam bahasa Inggeris, Papiamento dan Sranan Tongo, bahasa yang digunakan di kepulauan Caribbean dan di Suriname.
“Negara Belanda… memikul tanggungjawab atas penderitaan yang menimpa individu yang diperhambakan dan keturunan mereka,” kata Rutte kepada hadirin di Arkib Negara di sini.
“Kami, yang tinggal di sini dan pada masa sekarang, hanya boleh mengesahkan dan mengutuk perhambaan dalam istilah yang paling jelas sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” tambahnya. – AFP


