Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Belanda tahan perisik Rusia cuba menyusup ke ICC

    THE HAGUE, 17 JUN – Pihak berkuasa Belanda menahan seorang perisik Rusia menyamar sebagai rakyat Brazil, cuba menyusup masuk ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang sedang menyiasat jenayah perang di Ukraine.

    Lelaki dikenali Sergey Vladimirovich Cherkasov, 36, itu tiba di Belanda pada April lalu menggunakan nama samaran yang diciptanya sejak 12 tahun lalu. Namun pihak berkuasa berjaya mengenal pasti identiti palsu lelaki yang menyamar sebagai Viktor Muller Ferreira, 33, dan mengesahkannya sebagai ejen perisikan tentera GRU Moscow.

    Cherkasow kemudiannya diterbangkan ke Brazil yang mana polis menahannya atas kesalahan penipuan identiti.

    Pihak berkuasa Belanda berkata, Cherkasov kemungkinan boleh mengakses maklumat risikan yang bernilai berhubung siasatan ICC terhadap jenayah perang di Ukraine atau mempengaruhi prosiding jenayah di tribunal terbabit.

    Ketua Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Umum Belanda (AIVD), Erik Akerboom, berkata sangat jarang pihaknya dapat menahan ejen Rusia yang berkaliber itu. “Sudah bertahun GRU mencipta identiti palsu ini. Ini ialah usaha yang besar,” katanya seperti dilaporkan agensi berita ANP.

    Menurut AIVD, Cherkasov disifatkan sebagai perisik yang bijak menyembunyikan hubungannya dengan Rusia dan tinggal di luar negara menggunakan identiti palsu sejak sekian lama. Ibarat di dalam novel perisikan, pihak berkuasa Belanda turut mengeluarkan dokumen setebal empat muka surat mengenai ‘lagenda’ Cherkasov, dipercayai ditulis sendiri oleh Cherkasov sekitar 2010.

    Dokumen dalam tulisan Portugis itu dengan banyak kesilapan tatabahasa, termasuk cerita mengenai latar belakangnya, masalah hubungan dengan keluarga, sifat benci terhadap ikan serta kisahnya yang jatuh hati dengan seorang guru.

    Sementara itu, ICC juga merakamkan penghargaan kepada Belanda kerana mendedahkan perisik tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...