Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belanja berhemah, elak hutang

    Oleh Erda Khursyiah Basir

    KUALA LUMPUR – Tinggal beberapa hari sahaja sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dan suasana di pusat membeli-belah terutamanya kelihatan begitu sibuk sekali.

    Masih ramai yang membuat pembelian akhir sebelum bercuti dan memulakan perjalanan ‘Balik Kampung’. Menapak dari satu kedai ke satu kedai yang lain, mencari jika ada yang memberi diskaun potongan harga.

    Malah ada juga yang rancak membuat pembelian dalam talian, teruja dengan pelbagai pakej tawaran.

    ‘Harga runtuh’, ‘harga menjunam kaw-kaw’ dan ‘harga kasih sayang’, adalah antara tagline yang digunakan para peniaga bagi menarik perhatian pembeli.

    Bagi yang ‘lemah’ dan ‘mudah tergoda’ dengan potongan harga yang ditawarkan, pasti akan terpengaruh untuk membeli sekaligus boleh mengakibatkan berbelanja melebihi kemampuan.

    Masyarakat Islam semakin sibuk membuat persiapan Aidilfitri yang kini masuk minggu akhir Ramadan. – Bernama

    Sediakan bajet yang realistik. Mulakan dengan memeriksa semua perbelanjaan dan pastikan belanja musim perayaan turut dimasukkan dalam bajet bulanan. – Bernama
    ‘Harga runtuh’, ‘harga menjunam kaw-kaw’ dan ‘harga kasih sayang’, adalah antara tagline yang digunakan para peniaga bagi menarik perhatian pembeli. – Bernama

    Rancang perbelanjaan

    Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata dalam hal ini orang ramai dinasihatkan fokus kepada keperluan dan tidak mudah terpengaruh dengan taktik promosi jualan murah.

    “Kebanyakan pengguna yang terlebih belanja pada musim perayaan adalah kerana tidak membuat rancangan perbelanjaan yang rapi selain mudah dipengaruhi dengan tawaran jualan murah.

    “Lebih malang apabila ada antara mereka sanggup berhutang menggunakan kad kredit, pinjaman peribadi dan lain-lain,” katanya kepada Bernama.

    Mengulas lanjut beliau berkata, bukanlah suatu kesalahan untuk berbelanja pada musim perayaan namun biarlah ia berpada-pada dan mengikut kemampuan.

    Melunaskan bil tertentu dan menetapkan jumlah belanja raya adalah antara yang perlu diberi keutamaan bagi mengelak masalah tidak cukup wang apabila kembali bekerja selepas tamat cuti raya.

    “Pastikan bil dan ansuran bulanan pinjaman dibayar mengikut jadual bagi mengelakkan tunggakan.

    Terdapat segelintir masyarakat yang memilih untuk menangguhkan bayaran hutang bagi berbelanja lebih dan ini akan menjadi bebanan di kemudian hari.

    “Perbelanjaan raya bersifat perbelanjaan boleh jangka dan boleh dirancang. Perancangan awal seperti memperuntukkan sedikit wang setiap bulan bagi sambutan perayaan juga boleh mengelakkan masalah kewangan sebelum dan selepas lebaran.

    “Sediakan bajet yang realistik. Mulakan dengan memeriksa semua perbelanjaan dan pastikan belanja musim perayaan turut dimasukkan dalam bajet bulanan. Tetapkan peruntukan perbelanjaan perayaan yang selesa tanpa mengganggu bajet,” katanya sambil menambah jika mempunyai bajet yang sedikit keutamaan harus diberikan untuk perkara ‘keperluan’ terlebih dahulu.

    Amalan menabung

    Dalam masa yang sama, meskipun perbelanjaan tam-bahan diperlukan ketika musim perayaan, amalan menabung tidak boleh diabaikan.

    Ujar Junainah, amalan mengasingkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan untuk menabung wajar diteruskan untuk kegunaan di waktu kecemasan walaupun ketika musim perayaan.

    Bagi golongan yang menerima bonus raya atau bantuan hari raya sebagai contoh penjawat awam di negara ini, beliau berkata ia bukanlah tiket untuk berbelanja lebih kerana kedua-dua pemberian itu bukanlah sumber pendapatan tetap sebaliknya bersifat sementara.

    “Budaya belanja berlebihan tidak kira secara tradisional atau dalam talian harus dikawal untuk kembali kepada prinsip  agama yang mengajar kita bersederhana.

    “Fokus kepada keperluan dan keutamaan. Jangan lupa untuk menyimpan sebahagian daripada bonus atau insentif yang diterima bagi tujuan kecemasan dan untuk mencapai matlamat kewangan pada masa hadapan,” katanya.

    Turut ditanya mengenai jadual gaji lambat atau cepat semasa musim perayaan, beliau berpendapat ia bukanlah kayu ukur dalam persediaan menyambut syawal sekiranya perancangan awal telah dibuat.

    Jelas beliau, orang ramai tidak sepatutnya berhadapan masalah kekurangan bajet atau terlebih belanja memandangkan hari raya disambut setiap tahun dan ini membolehkan mereka membuat perancangan serta persiapan awal termasuk dari aspek simpanan khas musim perayaan tanpa mengharap kepada gaji awal.

    Tips belanja berhemah

    Menyediakan senarai semak dapat membantu dalam perbelanjaan berhemah dengan fokus terhadap barang keperluan.

    Pada masa yang sama ia boleh juga mengekang pengguna daripada terpengaruh untuk membeli barang mengikut nafsu dan yang bersifat kehendak semata-mata.

    “Masa ‘online’ boleh dihadkan bagi mengurangkan risiko terpengaruh dengan iklan jualan murah dalam talian.

    “Tidak semestinya apa yang diperagakan model sesuai dengan kita.

    “Ramai yang merungut apabila barang yang dibeli tidak seperti yang dijangka, tidak sesuai dan akhirnya terpaksa membeli yang lain bagi memenuhi citarasa. Ini adalah pembaziran.

    “Jadilah pengguna bijak dengan mendapatkan maklumat terkini mengenai diskaun, pilihan pusat membeli-belah dan harga jualan. Jangan membeli barangan yang tidak diperlukan hanya kerana harganya murah.

    “Buatlah perbandingan harga di beberapa buah kedai dan semak juga jika pembelian atas talian lebih murah untuk barang yang sama,” katanya.

    Tambah Junainah lagi, membeli barangan secara tunai mampu mengelak daripada masalah kewangan selepas musim perayaan selain dapat mengehadkan pembelian mengikut bajet yang disediakan.

    “Bagi yang berbelanja menggunakan kad kredit, pastikan kemampuan untuk membayar balik sepenuhnya bagi mengelak daripada dikenakan faedah,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda