Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belanja dengan berhemah

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Peruntukan kerajaan yang baru diluluskan perlu membawa impak besar dan kesan positif kepada negara dalam menjana pertumbuhan ekonomi lebih daripada 2 atau 3 peratus sekali gus menyumbang kepada kestabilan, meningkatkan pendapatan sebenar dan menambah peluang-peluang pekerjaan.

    Ini kerana setiap tahun, bilangan pelajar lepasan universiti dan lain-lain institusi pendidikan semakin bertambah dan setentunya juga mereka akan mencari pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan mereka.

    Sudah tentu juga mereka mengharapkan peluang-peluang pekerjaan akan bertambah baik dari setahun ke setahun sama ada dalam kerajaan mahupun dalam sektor industri-industri yang sudah dikenal pasti yang boleh menghasilkan pekerjaan atau melalui pelaburan asing, tekan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman dalam ucapan penangguhan Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, kelmarin.

    Menurutnya, usaha-usaha meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat ini adalah antara yang paling banyak dibincangkan pada permesyuaratan itu.

    Untuk itu, dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11, kerajaan juga memberi keutamaan kepada penyediaan dan kemudahan-kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik yang cukup ke rumah-rumah, peningkatan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses, pendidikan yang berkualiti dan boleh menjanjikan masa depan yang cerah kepada semua peringkat dan jurusan pelajar, persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan agrimakanan dan pertumbuhan keusahawanan secara umum.

    “Semua ini juga diharapkan dapat dicapai dengan pendekatan whole of government dan whole of nation.”

    Beliau juga memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai isu pengangguran dan menyokong penuh kandungan titah tersebut sebagai sesuatu yang perlu diberikan keutamaan. “Dictum kaola ialah a working person is a happy person,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    Justeru, beliau turut berharap negara akan dapat memastikan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih baik; peningkatan dalam pendapatan sebenar; harga barang-barang asasi terutamanya makanan terkawal; dan prospek mendapat pekerjaan yang cerah (brighter job prospect) bagi menghilangkan keresahan dalam kalangan pelajar-pelajar dan ibu bapa.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut meyakini setiap kementerian akan meneliti peruntukan masing-masing dan berbelanja dengan berhemah untuk mengelakkan pembaziran dan memastikan bahawa setiap perancangan dan perbelanjaan yang dibuat akan membawa hasil yang ketara dan dapat dinikmati oleh semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda