KUALA LUMPUR, 1 NOV – Belanjawan 2021 dijangka akan menjadi belanjawan paling mencabar dalam persekitaran ketidaktentuan, lebih banyak petunjuk pemulihan ekonomi lebih jelas diperlukan bagi mengukuhkan ringgit.
Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Izuan Ahmad berkata pengukuhan ringgit akan bergantung pada faktor kejayaan sebenar berkaitan dengan pembendungan pandemik COVID-19.
“Ketika ini, sukar untuk menilai potensi momentum kenaikan ringgit, walaupun dapat menjadi lebih jelas apabila data dan angka ekonomi terbaharu diterbitkan, sebahagian besarnya dijangka akan berada dalam kedudukan yang lebih baik susulan Malaysia kini sedang dalam proses pemulihan ekonominya,” katanya kepada Bernama. Beliau berkata ringgit yang lemah berbanding dolar AS akan meningkatkan sektor eksport Malaysia dan ia pasti memberi manfaat kepada penggiat dalam industri seperti pengeluar sarung tangan getah yang juga memacu meningkatkan permintaan di peringkat global kerana pandemik tersebut.
Selain itu, ia akan memberi kesan sebaliknya kepada mereka yang bergantung pada bahan atau bahagian yang diimport.
“Justeru, Belanjawan 2021 yang akan menyediakan langkah-langkah bagi mengatasinya akan bertindak dalam dua cara dalam persekitaran keadaan ekonomi dan kewangan yang tidak menentu tetapi bergantung kepada momentum kenaikan atau penurunan mata wang tempatan. “Untuk tempoh baki 2020, prestasi perdagangan luar terus berada dalam kedudukan mencabar kerana pandemik COVID-19 di seluruh dunia,” katanya. – Bernama