Belanjawan 2022: e-sukan tidak dilupakan

PETALING JAYA, 17 OKT – Sukan elektronik atau e-sukan akan tetap mendapat peruntukan sewajarnya dalam Belanjawan 2022 yang dibentang pada hujung bulan ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata peruntukan bagi e-sukan, yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan muda, tidaklah terlalu besar.

“Ada tetapi bukan terlalu besar kerana seperti yang kita tahu, kerajaan memberi fokus kepada penjanaan ekonomi pasca COVID-19. Kita tahu banyak peluang pekerjaan terjejas dan fokus kerajaan kepada itu tetapi kita tidak akan meninggalkan perkara baik seperti e-sukan yang perlu kita kembangkan.

“Saya tidak kata ia bertambah atau berkurang tetapi apa yang pasti, kita memberi penumpuan kepada perkembangan sukan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Mobile Legends Pro League (MPL) Malaysia Musim Ke-8 di sini hari ini.

Belanjawan 2021 menyaksikan e-sukan mendapat peruntukan sebanyak RM15 juta dan ini adalah tahun ketiga pembangunan sukan digital itu diberi perhatian dalam pembentangan belanjawan. – Bernama