Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2024/2025 berjumlah $6.25 bilion telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Daripada jumlah berkenaan, $2.29 bilion adalah untuk membiayai emolumen termasuk gaji, faedah perkhidmatan, kemudahan-kemudahan lain dan caruman majikan, $2.40 bilion untuk membiayai perbelanjaan berulang-ulang, $500 juta diperuntukkan untuk membiayai 305 projek pembangunan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12.
Bagi tempoh RKN12 yang bermula pada Tahun Kewangan 2024/2025 dan berakhir pada Tahun Kewangan 2029/2030, Jawatankuasa Tertinggi RKN yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah meluluskan sebanyak $4 bilion untuk membiayai 305 projek dalam pelbagai sektor dan kluster ekonomi.
Selebihnya iaitu $1.06 bilion adalah untuk membiayai perbelanjaan di bawah tajuk Perbelanjaan Yang Diakui.
Dengan berasaskan unjuran dan hala tuju ekonomi dunia pada masa ini serta mengambil kira tahap pengeluaran minyak negara, anggaran hasil kerajaan bagi Tahun Kewangan 2024/2025 diunjurkan berjumlah $3.26 bilion di mana $2.47 bilion iaitu 75 peratus adalah hasil daripada sektor minyak dan gas dan $793.52 juta iaitu 25 peratus adalah hasil sektor bukan minyak dan gas.
Oleh itu, berdasarkan anggaran hasil dan perbelanjaan yang dinyatakan itu, kerajaan dijangka akan mengalami defisit belanjawan berjumlah kira-kira $2.99 bilion, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2024) Perbekalan 2024/2025 pada hari ketiga Permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
Beliau menerangkan, unjuran defisit itu akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa berdasarkan tahap pengeluaran minyak dan gas negara, harga minyak dunia, kadar pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat, hasil pendapatan daripada sektor bukan minyak dan gas serta perbelanjaan sebenar kerajaan.
Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan, tema Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2023/2024 iaitu Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur, dikekalkan dan dilanjutkan bagi tempoh dua tahun bermula Tahun Kewangan 2024/2025 hingga 2025/2026.
“Ini adalah untuk memastikan kesinambungan, penyejajaran serta penilaian dalam jangka masa sederhana ke arah mencapai dasar-dasar dan matlamat-matlamat perbelanjaan yang telah disasarkan sebelum ini serta membolehkan agensi-agensi kerajaan terus berusaha memajukan inisiatif-inisiatif dan projek-projek sama ada yang telah dirancang atau dalam pelaksanaan,” tambahnya.
Tema berkenaan, ujar Yang Berhormat Dato, menumpu kepada tiga keutamaan iaitu meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti awam, memupuk kepelbagaian ekonomi yang mampan serta pembangunan modal insan yang dinamik dan berwawasan.
Tema itu, tambahnya, adalah sebagai komitmen kerajaan untuk membina asas ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.
Keutamaan terus diberikan untuk meningkatkan usaha dalam merangsang pertumbuhan dan mempelbagaikan ekonomi negara, meningkatkan ekosistem perniagaan dan pelaburan yang lebih kondusif demi menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bermanfaat kepada negara termasuk penglibatan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.
Usaha-usaha berkenaan adalah penting bagi menjana peluang pekerjaan berkualiti bagi penduduk tempatan khususnya sektor swasta.
Terdahulu dalam pembentangannya, Yang Berhormat Dato mengongsi kedudukan fiskal kerajaan bagi Tahun Kewangan 2022/2023 di mana kerajaan telah mencatatkan kutipan hasil pendapatan sebanyak $6.35 bilion iaitu peningkatan 33.1 peratus berbanding $4.77 bilion pada Tahun Kewangan 2021/2022.
Peningkatan itu adalah berikutan kenaikan harga minyak pada 2022 yang secara purata melebihi AS$90 setong.
Dari segi perbelanjaan, kerajaan telah mencatatkan peningkatan 5.3 peratus kepada $6.08 bilion berbanding $5.78 bilion pada Tahun Kewangan 2021/2022. Walau bagaimanapun, kerajaan berjaya merekodkan lebihan belanjawan sejumlah $260.46 juta setelah merekodkan defisit belanjawan berturut-turut sejak Tahun Kewangan 2019/2020.
Bagi kedudukan fiskal kerajaan untuk Tahun Kewangan 2023/2024 pula, Yang Berhormat Dato menjelaskan berikutan harga minyak dunia yang melebihi AS$80 setong serta pengeluaran minyak dan gas yang menurun disebabkan penutupan berjadual bagi aktiviti-aktiviti penyelenggaraan, unjuran hasil pendapatan kerajaan bagi Tahun Kewangan 2023/2024 telah dikemas kini kepada $3.22 bilion berbanding anggaran asal sebanyak $2.99 bilion.
Manakala perbelanjaan kerajaan bagi Tahun Kewangan 2023/2024 diunjurkan berjumlah $5.92 bilion berbanding $5.96 bilion yang telah diperuntukkan pada Tahun Kewangan 2023/2024.
“Unjuran ini mengambil kira tambahan peruntukan yang dijangkakan pada Tahun Kewangan 2023/2024 antara lainnya untuk membiayai perbelanjaan-perbelanjaan di bawah Perkhidmatan Rampaian dan sejumlah $2.1 juta untuk membiayai perbelanjaan bagi pemakanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.”
Namun demikian, Yang Berhormat Dato berkata, perbelanjaan kemajuan diunjurkan berjumlah $373.82 juta berbanding $500 juta yang telah diluluskan, antaranya disebabkan oleh beberapa perkara seperti penelitian semula keperluan pengguna dan skop projek.
“Oleh itu, berasaskan anggaran kutipan hasil dan perbelanjaan seperti yang koala kongsikan sebentar tadi, kerajaan dijangka akan merekodkan defisit belanjawan sebanyak $2.7 bilion pada Tahun Kewangan 2023/2024,” ujarnya.