Saturday, March 22, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belanjawan $6.35 bilion diluluskan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) sebulat suara meluluskan belanjawan 2025/2026 berjumlah $6.35 bilion.

    Peruntukan belanjawan bagi Tahun Perkhidmatan 2025/2026 telah diluluskan sebulat suara oleh ahli-ahli MMN semasa Persidangan MMN yang bersidang pada hari ke-14 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Belanjawan berjumlah $6.35 bilion bagi Perkhidmatan Tahun Kewangan 2025/2026 telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada 1 Mac lalu.

    Semasa pembentangan belanjawan berkenaan, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa belanjawan itu bukan hanya sekadar perancangan tahunan, ia merupakan langkah strategik yang berterusan ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 serta komitmen bersama untuk memastikan kemakmuran dan kedayatahanan negara yang berterusan.

    Beliau menerangkan bahawa berasaskan unjuran-unjuran serta hala tuju ekonomi dunia pada masa ini serta dengan mengambil kira tahap pengeluaran minyak dan gas negara, anggaran hasil kerajaan bagi Tahun Kewangan 2025/2026 diunjurkan berjumlah $3.26 bilion, di mana $2.45 bilion atau 75 peratus adalah hasil daripada sektor minyak dan gas serta $802.24 juta atau 25 peratus adalah hasil daripada sektor bukan minyak dan gas.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menghadiri Persidangan MMN pada hari ke-14 di Bangunan Dewan Majlis. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Yang Berhormat Dato menyatakan bagi Tahun Kewangan 2025/2026, belanjawan negara dicadangkan sebanyak $6.35 bilion secara keseluruhan.

    “Oleh itu, berdasarkan anggaran hasil dan perbelanjaan yang kaola nyatakan tadi, maka kerajaan dijangka akan mengalami defisit belanjawan berjumlah kira-kira $3.1 bilion.

    “Unjuran defisit ini akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa berdasarkan tahap pengeluaran minyak dan gas negara, harga minyak dunia, kadar pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat, hasil pendapatan daripada sektor bukan minyak dan gas serta perbelanjaan sebenar kerajaan.”

    Selain itu, Yang Berhormat Dato juga menyatakan bahawa tema belanjawan negara bagi tahun kewangan 2025/2026 iaitu Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur masih dikekalkan untuk kali terakhirnya bagi Tahun Kewangan 2025/2026.

    “Ini adalah untuk memastikan kesinambungan dan pendekatan yang konsisten serta bersepadu dalam pelaksanaan dasar-dasar dan matlamat-matlamat perbelanjaan.

    “Ia juga dikekalkan untuk meneruskan projek dan inisiatif yang telah dirancang atau sedang dilaksanakan ke arah mencapai sasaran strategik bagi merealisasikan matlamat-matlamat di bawah Wawasan Brunei 2035.”

    Menurut beliau lagi, tema berkenaan menumpukan kepada tiga keutamaan iaitu meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti awam, memupuk kepelbagaian ekonomi yang mampan serta pembangunan modal insan yang dinamik dan berwawasan.

    Tema itu, tambahnya, berperanan sebagai panduan strategik untuk memastikan penggunaan sumber negara secara optimum dengan penekanan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif bagi membina ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan dan seterusnya memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus terpelihara.

    “Ini termasuk meningkatkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dan projek-projek yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi, mempelbagaikan sektor ekonomi dan meningkatkan persekitaran perniagaan untuk menarik pelaburan berkualiti, termasuk daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).”

    Yang Berhormat Dato berkata usaha-usaha berkenaan adalah penting bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan, terutamanya dalam sektor swasta.

    Di samping itu, kerajaan juga terus komited dengan menyediakan infrastruktur yang berkualiti tinggi dan mudah diakses bagi memudahkan aktiviti ekonomi, di samping menumpukan kepada pendidikan inklusif.

    “Ini bertujuan melahirkan individu yang berkemahiran, employable dan bersedia untuk masa depan, selaras dengan keperluan industri, sekali gus menyumbang kepada produktiviti negara.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda