Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah membentangkan Belanjawan Negara Bagi Tahun Kewangan 2025/2026 yang berjumlah $6.35 bilion.
Belanjawan itu bukan hanya sekadar perancangan tahunan, ia merupakan langkah strategik yang berterusan ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 serta satu komitmen bersama untuk memastikan kemakmuran dan kedayatahanan negara yang berterusan, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-Undang (2025) Perbekalan 2025/2026 pada hari ketiga permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.
Beliau menerangkan bahawa dengan berasaskan unjuran-unjuran serta arah tuju ekonomi dunia pada masa ini serta mengambilkira tahap pengeluaran minyak dan gas Negara, Anggaran Hasil Kerajaan bagi Tahun Kewangan 2025/2026, diunjurkan berjumlah $3.26 bilion, di mana $2.45 bilion atau 75 peratus adalah hasil dari Sektor Minyak dan Gas serta $802.24 juta atau 25 peratus adalah hasil dari Sektor Bukan Minyak dan Gas.
Yang Berhormat Dato menyatakan bagi Tahun Kewangan 2025/2026, Belanjawan Negara dicadangkan sebanyak $6.35 bilion secara keseluruhan.
“Oleh itu, berdasarkan kepada Anggaran Hasil dan Perbelanjaan yang telah nyatakan tadi, maka Kerajaan dijangka akan mengalami defisit belanjawan berjumlah kira-kira $3.1 bilion.”
“Unjuran defisit ini akan dikemaskinikan dari masa ke semasa berdasarkan kepada tahap pengeluaran minyak dan gas Negara, harga minyak dunia, kadar pertukaran matawang Dollar Amerika Syarikat, hasil pendapatan dari Sektor Bukan Minyak dan Gas dan perbelanjaan sebenar Kerajaan.”
Beliau seterusnya menyatakan bahawa tema Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2025/2026 iaitu Bersatu Membina Masa Depan Yang Lebih Makmur yang mana ia dikekalkan lagi untuk kali terakhirnya bagi Tahun Kewangan 2025/2026.
“Ini adalah untuk memastikan kesinambungan dan pendekatan yang konsisten serta bersepadu dalam pelaksanaan dasar-dasar dan matlamat-matlamat perbelanjaan.”
“Ianya juga dikekalkan untuk meneruskan projek dan inisiatif yang telah dirancang atau sedang dilaksanakan ke arah mencapai sasaran strategik bagi merealisasikan matlamat-matlamat di bawah Wawasan Brunei 2035.”
Yang Berhormat Dato menyatakan tema berkenaan menumpukan kepada tiga keutamaan iaitu meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti awam, memupuk kepelbagaian ekonomi yang mampan serta pembangunan modal insan yang dinamik dan berwawasan.
Tema itu, tambahnya, berperanan sebagai panduan strategik untuk memastikan penggunaan sumber Negara secara optimum dengan memberi penekanan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif bagi membina ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan dan seterusnya memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus terpelihara.
“Ini termasuk meningkatkan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dan projek-projek yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi, mempelbagaikan sektor ekonomi dan meningkatkan persekitaran perniagaan untuk menarik pelaburan berkualiti, termasuk daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).”
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew seterusnya menyatakan usaha-usaha berkenaan adalah penting bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan, terutamanya dalam sektor swasta.
Di samping itu, kerajaan juga akan terus komited dengan menyediakan infrastruktur yang berkualiti tinggi dan mudah diakses bagi memudahkan aktiviti ekonomi, di samping menumpukan kepada pendidikan inklusif.
“Ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berkemahiran, employable, dan bersedia untuk masa depan, selaras dengan keperluan industri, sekali gus menyumbang kepada produktiviti negara.”
Terdahulu dalam pembentangannya, Yang Berhormat Dato mengongsi mengenai kedudukan fiskal Kerajaan setelah penutupan akaun Tahun Kewangan 2023/2024 di mana Kerajaan telah mencatatkan kutipan hasil pendapatan sebanyak $3.69 bilion iaitu penurunan sebanyak 41.8 peratus berbanding $6.35 bilion pada Tahun Kewangan 2022/2023 di mana ia mengambilkira penurunan daripada hasil Sektor Minyak dan Gas, iaitu sejumlah $2.73 bilion.
Daripada segi perbelanjaan pula, Kerajaan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus kepada $6.11 bilion berbanding dengan $6.08 bilion pada Tahun Kewangan 2022/2023.
Berikutan itu, pada Tahun Kewangan 2023/2024, Kerajaan telah merekodkan defisit belanjawan sejumlah $2.42 bilion berbanding lebihan belanjawan ataupun budget surplus sebanyak $260.46 juta pada Tahun Kewangan 2022/2023.
