MANILA, 30 DIS – Pejabat Presiden Filipina (OP) akan menerima tambahan sebanyak 5.2 bilion Peso Filipina (PHP) (AS$89.804 juta) dalam belanjawan 2025 sebagai persediaan untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 2026.
Agensi Berita Filipina melaporkan bahawa Setiausaha Eksekutif, Lucas Bersamin membuat kenyataan itu hari ini bagi mempertahankan kritikan terhadap peruntukan bajet lebih tinggi yang diterima OP selepas persetujuan jawatankuasa persidangan dwikameral.
“Itu adalah aspek yang sangat penting dalam hubungan antarabangsa kita,” kata Bersamin dalam sidang media di Malacanang selepas Presiden Ferdinand R Marcos Jr menandatangani Akta Peruntukan Am (GAA) 2025.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta tahun lepas, Marcos menerima permintaan blok serantau itu untuk menjadi pengerusi ASEAN pada 2026, setahun lebih awal daripada jadual asal, selepas Myanmar menarik diri daripada jawatan itu.
Pengerusi ASEAN bertanggungjawab bukan sahaja untuk sidang kemuncak di peringkat pemimpin tetapi juga semua pertemuan lain dalam blok itu.
“Oleh itu, ASEAN 2026 akan dianjurkan oleh Filipina. Kita perlu memulakan persediaan sekarang. Oleh itu, selepas penyerahan Pelan Perbelanjaan Negara (NEP), kita meminta Kongres untuk dana tambahan sebanyak PHP 5.2 bilion bagi 2025,” jelas Bersamin.
“Selepas 2025, kami akan meminta belanjawan tambahan lebih besar, tetapi itu akan dimasukkan dalam NEP yang akan dikemukakan pada 2025 untuk 2026,” tambahnya. – Bernama