SINGAPURA, 27 DIS – Perdana Menteri Singapura merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong akan membentangkan kenyataan Belanjawan Singapura 2025 di Parlimen pada 18 Februari tahun depan.
Belanjawan itu akan disiarkan secara langsung di televisyen dan radio.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), kenyataan penuh akan dimuat naik ke laman sesawang Belanjawan Singapura ([www.singaporebudget.gov.sg](http://www.singaporebudget.gov.sg)) sejurus selepas pembentangan.
Pada masa yang sama, kemas kini waktu sebenar mengenai pengumuman utama Belanjawan juga boleh didapati di laman Facebook dan akaun X MOF.
Belanjawan kali ini amat signifikan bagi Wong, yang pertama kali membentangkannya sebagai Perdana Menteri sejak mengambil alih jawatan pada Mei lepas.
Pembentangan itu juga dilihat penting menjelang Pilihan Raya Umum yang mesti diadakan sebelum November 2025.
Dalam sidang media bulan lalu, Wong berkata kerajaan memberi tumpuan kepada beberapa tema utama untuk Belanjawan 2025.
Ia termasuk strategi ekonomi, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan pekerjaan untuk pekerja, pendapatan yang lebih baik untuk semua, serta memperkukuh semangat perpaduan dan kesatuan, terutamanya ketika Singapura meraikan ulang tahun ke-60 kemerdekaan (SG60) tahun depan.
MOF kini sedang menjalankan sesi perundingan awam mengenai Belanjawan 2025 melalui pelbagai saluran sehingga 12 Januari 2025. – Bernama