LONDON, 3 MAC – Menteri kewangan Britain Rishi Sunak membentangkan belanjawan tahunan negara Britain hari ini, menjanjikan langkah-langkah untuk melindungi perniagaan dan pekerjaan sementara melangsai hutang yang dicetuskan pandemik ketika England bersedia untuk keluar daripada sekatan ketiganya.
Sebelum kenyataan belanjawan di parlimen, kerajaan Konservatif Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan lewat semalam ia akan melanjutkan skim cuti dari bertugas bagi membayar gaji untuk jutaan pekerja sektor swasta.
Berita pelanjutan skim cuti dari bertugas sehingga akhir September, lima bulan lebih lama daripada dirancang, merangsang harga saham peruncit dan syarikat pelancongan di London.
“Kami akan terus melakukan apa sahaja untuk menyokong rakyat dan perniagaan Britain mengharungi krisis ini,” kata Sunak semasa membentangkan belanjawannya di parlimen pada 1230 GMT,” menurut jabatannya.
Beliau menambah sebaik sahaja ekonomi ‘sedang menuju pemulihan, kami perlu menyelesaikan isu kewangan awam, dan saya mahu berterus terang hari ini mengenai rancangan kami untuk melakukannya.’
Skim cuti dari bertugas telah menyumbang kepada hutang kerajaan yang meningkat, yang mungkin diatasi Sunak sebahagiannya dengan menggunakan belanjawan untuk mengumumkan kenaikan dalam cukai syarikat atau mengenakan levi ke atas keuntungan syarikat, menurut laporan.
Pada 19 peratus, kadar cukai syarikat Britain adalah yang paling rendah dalam negara dan salah satu yang paling kecil dalam blok negara kaya Kumpulan 20.
Belanjawan juga dijangka mengesahkan pelancaran Bank Infrastruktur dengan modal bernilai £12 bilion dan jaminan kerajaan berjumlah £10 bilion. – AFP
