Wednesday, January 1, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belgium akan haramkan penjualan e-rokok

    BRUSSELS, 29 DIS – Bermula 1 Januari 2025, Belgium akan mengharamkan penjualan rokok elektronik pakai buang atas alasan kesihatan dan alam sekitar, satu langkah penting bagi negara-negara Kesatuan Eropah.

    Menteri Kesihatan, Frank Vandenbroucke berkata rokok elektronik murah telah menjadi ancaman kesihatan kerana ia menjadi cara mudah untuk remaja terlibat dalam merokok dan ketagih nikotin.

    “Rokok elektronik pakai buang adalah produk baru yang direka khas untuk menarik pengguna baharu,” katanya dalam satu temu bual.

    “Rokok elektronik sering mengandungi nikotin. Nikotin menjadikan anda ketagih kepada nikotin. Nikotin buruk untuk kesihatan anda. Itulah faktanya,” tambah Vandenbroucke.

    Kerana ia pakai buang, plastik, bateri dan litar menjadi beban kepada alam sekitar. Selain itu, “ia mencipta bahan kimia sisa berbahaya yang masih terdapat dalam benda tersebut,” kata Vandenbroucke.

    Seorang lelaki menghisap rokok elektronik di Brussels pada 12 Disember menjelang tegahan penjualan vape. – AP

    Menteri Kesihatan berkata beliau juga menyasarkan rokok elektronik pakai buang kerana rokok elektronik boleh guna semula mungkin menjadi alat untuk membantu orang berhenti merokok jika mereka tidak dapat mencari cara lain.

    Australia mengharamkan penjualan ‘vape’ di luar farmasi awal tahun ini dalam beberapa sekatan paling ketat di dunia terhadap rokok elektronik. Kini, Belgium memimpin gerakan EU.

    “Kami adalah negara pertama di Eropah yang melakukannya,” kata Vandenbroucke.

    Beliau mahukan langkah-langkah yang lebih ketat terhadap tembakau dalam blok 27 negara.

    “Kami benar-benar menggesa Suruhanjaya Eropah untuk tampil dengan inisiatif baharu bagi mengemas kini dan memodenkan, perundangan tembakau,” katanya. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda