Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belgium bangkit sekat Azzurri

    ROM, 11 OKT – Belgium bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum seri 2-2 dengan Itali yang beraksi dengan 10 pemain di Rom awal pagi tadi untuk mengukuhkan harapan mereka layak ke suku akhir Liga Negara-Negara.

    Maxim De Cuyper dan Leandro Trossard meledak gol ketika Belgium, di tangga ketiga, melonjak tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan A2, Itali yang kehilangan pemain tengah Lorenzo Pellegrini kerana dibuang padang tujuh minit sebelum rehat.

    “Kadang-kadang ada perlawanan yang tidak diputuskan oleh apa yang dipersembahkan pemain di tengah padang,” kata jurulatih Itali, Luciano Spalletti kepada RAI.

    “(Gianluigi) Donnarumma tidak menerima menerima ujian kerana kami tidak begitu bergelut. Kami dihukum susulan situasi ‘set piece’ yang mana mereka turut agak bernasib baik.”

    Itali berhak mendahului dua gol apabila Pellegrini dibuang padang kerana terjahan berbahaya ke atas Arthur Theate, hukuman yang membolehkan De Cuyper merapatkan jurang pada minit ke-42 menerusi satu rembatan kencang jarak jauh.

    Andrea Cambiaso membuka tirai jaringan dengan gol antarabangsa pertamanya selepas 61 saat dan Mateo Retegui menampan masuk gol kedua tuan rumah pada pertengahan babak pertama ketika Itali kelihatan meneruskan kebangkitan semula selepas kegagalan Euro 2024.

    Sebaliknya Belgium, yang terlepas khidmat Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku kerana cedera, membawa pulang satu mata ke Brussels.

    Anak buah Domenico Tedesco tergamam apabila terjahan keras Alessandro Bastoni ke atas Lois Openda tidak diberikan penalti yang mungkin menjadikan persaingan kumpulan itu semakin sengit.

    “Awda tidak boleh melihat satu insiden dan kemudian membuat penilaian terhadap pengadil. Ia bukannya satu perlawanan mudah untuk diadili,” kata Tedesco kepada RAI. – AFP

    Trossard beraksi semasa perlawanan Liga Negara-Negara di Stadio Olimpico di Rom, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda