PARIS, 4 Sept – Jaringan Romelu Lukaku memastikan Belgium menjadi negara Eropah pertama untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, ketika Perancis terikat seri tanpa jaringan kepada Luxembourg.
Pemain penyerang Manchester United, Lukaku, menanduk masuk hantaran lintang Thomas Meunier pada minit ke-74 di Piraeus bagi jaringan penting dalam kemenangan Belgium 2-1, yang memastikan mereka di tempat teratas dalam kelayakan Eropah bagi Kumpulan H.
Semua jaringan hadir dalam tempoh lima minit, dengan hantaran leret dari JanVertonghen meletakkan pasukan kendalian Roberto Martinez di depan pada minit ke-70.
Pemain tengah kelahiran Portugal, Zeca, menyamakan kedudukan bagi Greece yang hanya menyaksikan Lukaku menjaringkan gol penting, jaringan ke-10 dalam tujuh perlawanan kelayakan, seminit kemudian.
Dengan hanya berbaki dua perlawanan, Belgium menikmati pendahuluan lapan mata ke atas Bosnia dan Herzegovina di tangga kedua, di mana Edin Dzeko menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Gibraltar.


Belgium menyertai Brazil, Iran, Jepun, Mexico dan tuan rumah Rusia dalam memastikan tempat pada persaingan yang akan diadakan pada tahun depan.
Dalam persaingan merebut tempat kedua dan tempat bagi persaingan playof pada November depan, Bosnia sekarang hanya satu mata di depan Greece dan empat mata di depan Cyprus, dikalahkan 1-0 di Estonia.
Tiga hari selepas membenam Belanda 4-0, di mana mereka mempamerkan pemain penyerang berbakat, Perancis membuktikan diri mereka tidak mampu untuk menundukkan pasukan Luxembourg, negara yang berada di ranking 136 dunia.
Pasukan Didier Deschamps, dengan Kylian Mbappe beraksi selepas diturunkan dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol menentang Belanda, menguasai 70 peratus permainan dan lebih dari 30 percubaan tepat di Toulouse tetapi gagal untuk memecahkan kebuntuan dan wisel penamat diikuti dengan ejekan.
Ia adalah kali pertama Perancis gagal untuk menang menentang Luxembourg sejak 1914 dan satu-satunya sagu hati bagi Perancis adalah mereka kekal satu mata di depan Sweden di tangga teratas Kumpulan A dengan berbaki dua perlawanan.
Sementara itu dalam Kumpulan B, Switzerland masih berada di puncak selepas meraih kemenangan kelapan dari lapan perlawanan dengan menang 3-0 ke atas Latvia.
Juara Eropah, Portugal masih tiga mata di belakang Switzerland susulan kemenangan 1-0 ke atas Hungary, yang bermain 10 orang di Budapest dengan jaringan kemenangan dijaringkan oleh penyerang AC Milan Andre Silva.
Portugal masih menyimpan harapan untuk memenangi kumpulan dan melayakkan secara automatik apabila skuad yang dipimpin Cristiano Ronaldo itu menghoskan Switzerland di Lisbon bulan depan. – AFP