Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belgium perkenal kupang diternak secara mampan

    NIEUWPOORT, BELGIUM – Sudah menjadi tradisi popular untuk memakan kupang di Brussels, tetapi apa yang mungkin mengejutkan ramai adalah tiada satu pun daripada moluska yang dinikmati pengunjung itu diperoleh dari Belgium.

    Namun begitu, keadaan sudah berubah. Sebuah kumpulan pasar raya Belgium telah menyahut cabaran untuk menuai kupang tempatan, yang telah pun meraih hasil yang lumayan, dengan perniagaan berkembang pesat.

    Di luar pantai Nieuwpoort, berhampiran sempadan Perancis, sebuah kren menaikkan tali yang dipenuhi kupang ke dalam bot.

    Ia adalah sebahagian daripada rangkaian sepanjang 12 kilometer yang didirikan pada 2023 oleh Kumpulan Colruyt.

    Pemandangan sebegitu tidak pernah dilihat di Belgium sebelum ini dan Colruyt berharap ia akan berkembang, terutamanya untuk mencabar dominasi kupang Belanda di pasaran tempatan.

    Stijn Van Hoestenberghe menyusun tali kupang terpakai di pelabuhan di Nieuport pada 18 Jun. – AFP
    Stijn Van memegang kupang semasa menuai dari dek bot di Laut Utara, di luar pantai Nieuport. – AFP
    Jan Moermans mengendalikan kren dari geladak untuk menaikkan tali kupang di ladang kupang di Laut Utara, di luar pantai Nieuport. – AFP
    Pelampung yang digunakan untuk menampung tali kupang di tempatnya dinaikkan dengan kren dari bot di ladang kupang di di luar pantai Nieuport. – AFP
    Gambar AFP

    “Kami menuai satu tan dalam masa kira-kira empat jam, dengan empat orang. Kami berharap pada masa hadapan dapat menuai tiga hingga empat tan dalam sehari,” kata Stijn Van Hoestenberghe, sambil membawa pasukan AFP ke sebuah ladang kupang yang diurusnya.

    Tahun ini Colruyt mengharapkan hasil sebanyak 50 tan, meningkat daripada enam tan tahun lalu, dan mungkin 200 pada 2025, tambah Van Hoestenberghe.

    Ia bukan kerja mudah, akui Van Hoestenberghe, disebabkan arus laut yang bergelora, ribut dan lalu lintas maritim yang sibuk di kawasan itu.

    Jauh berbeza daripada muara Scheldt yang luas dan dalam di mana kupang Zeeland yang terkenal membesar di selatan Belanda, yang membekalkan ke sebahagian besar pasaran Eropah.

    “Kawasan delta di Belanda adalah zon perlindungan yang amat besar, yang menjadikannya lebih mudah untuk mendirikan ladang (kupang) berbanding di laut terbuka,” jelas Jerome Mallefet, pakar biologi marin di Universiti UCLouvain Belgium.

    Menubuhkan lebih banyak ladang kupang di luar pantai Belgium – digambarkan oleh Mallefet sebagai ‘lebuh raya untuk bot’ – adalah lebih sukar disebabkan turbin angin luar
    pesisir dan aktiviti pukat tunda, tambah pakar itu.

    Hari ini, pakar menganggarkan bahawa Belgium, salah satu pengguna kupang terbesar di Eropah di samping Sepanyol, Perancis dan Denmark, mendapat lebih 90 peratus daripada kupangnya daripada penternak Belanda di Zeeland.

    Di sebalik perkembangan itu, Colruyt mempunyai cita-cita yang lebih besar untuk berusaha memasuki pasaran itu kerana bekalannya hanya memenuhi satu peratus daripada keperluan Belgium, di mana kira-kira 20,000 tan kupang dimakan dalam setahun.

    “Jelasnya terdapat ruang untuk pertumbuhan, ” kata syarikat itu.

    Buat masa ini, 100 peratus kupang Belgium Colruyt dihantar ke empat kedainya dan kira-kira 15 restoran di Belgium.

    Salah satu alasannya untuk membangunkan pasaran itu adalah kerana kupang berkenaan diternak secara mampan memandangkan tali yang digunakan diperbuat daripada pukat ikan yang dikitar semula.

    Kupang merupakan makanan bermusim. Masa terbaik untuk memakannya, kata pakar, adalah apabila saiz dan isinya sudah cukup besar, biasanya dari September hingga Disember.

    Di Grand Place yang bersejarah di Brussels, destinasi pelancongan utama di Belgium, seorang pemilik restoran memberitahu AFP bahawa dia menawarkan hidangan tradisional kupang dan kentang goreng yang sangat popular dalam menunya sepanjang tahun.

    Seperti pelanggannya, kupang yang disajikan di restorannya datang dari seluruh Eropah.
    “Kami mempunyai ramai orang yang memakan kupang di sini.

    Jadi kami menyajikan kupang Zeelandese antara bulang Jun dan Februari, dan selepas itu kami mempunyai kupang Denmark atau kupang Jerman, bergantung pada permintaan,” kata Jean-Philippe Bosman, pemilik restoran Le Roy d’Espagne.

    “Mempunyai pengeluar tempatan adalah bagus tetapi mereka perlu membekalkan kami kuantiti yang kami mahu tepat pada masanya dan ia lebih rumit.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda