Selepas membeli kereta, pelakon Anna Jobling merancang mendapatkan lesen memandu, bulan depan.
Pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian, Melur Untuk Firdaus berkata, dia sudah pun mendapat lesen L dan berharap dapat menduduki ujian memandu selepas Aidilfitri.
“InsyaAllah, bulan depan saya akan selesaikan segala-galanya. Saya sudah ada lesen L.
“Saya sudah bincang dengan pihak pengurusan bagi memberi pelepasan selama dua tiga hari untuk selesaikan urusan pengambilan lesen,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar bersama Anna Jobling, semalam.
Terdahulu, pelakon kacukan Melayu-Inggeris ini berkongsi membeli kereta pertama jenis Honda CR-V berwarna hitam menerusi Instagram Story (IGs), baru-baru ini.
Menerusi entri itu, Anna turut mendedahkan masih belum memiliki lesen memandu dan akan segera mendapatkannya.
Dalam pada itu, Anna turut memaklumkan selain memudahkan dirinya bergerak, sekali gus melancarkan urusan sehariannya, tujuannya membeli kenderaan disebabkan mahu membiasakan diri menguruskan perbelanjaan bulanan.
“Saya tak berbelanja banyak. Justeru, saya perlu beli kereta sebagai komitmen bulanan. Lagipun jika bukan sekarang, lambat laun saya kena beli kereta.
“Niat asal membeli kereta untuk dihadi-ahkan kepada Mama. Namun, Mama sudah memiliki kereta, jadi saya yang akan menggunakannya.
“Bagaimanapun, saya masih belum boleh memandu. Kalau setakat letakkan kereta ke depan seperti yang dilihat dalam drama, bolehlah.
“Namun, jika kalau nak memandu di jalan raya, saya belum boleh lagi,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman turut meluahkan hasrat memiliki kediaman sendiri suatu hari nanti. – Agensi