Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – John Kok Chung Wei tidak menyangka bahawa nombornya merupakan nombor bertuah yang terpilih untuk memenangi hadiah utama dan membawa pulang baucar membeli-belah bernilai $10,000 bagi Cabutan Utama Promosi Hari-hari Raya 2019 anjuran NBT (Brunei) Sdn Bhd yang berlangsung di Manggis Mall, hari ini.
Bagi John Kok, beliau masih tidak percaya dan menerima kejutan yang manis apabila nombornya dicabut di hadapan kira-kira 500 orang pelanggan NBT yang hadir pada majlis cabutan utama promosi untuk membawa pulang hadiah utama berkenaan.
John Kok turut menyatakan bahawa ia merupakan satu kemenangan yang tidak dapat diduga di mana beliau masih belum membuat keputusan mengenai perkara yang akan dilakukan dengan hadiah utamanya itu.
Beliau baharu sahaja membeli kereta Toyota C-HR pada 22 Mei lalu dan tanpa disangka memenangi hadiah utama promosi serta menyatakan bahawa beliau membeli kereta jenama Toyota khususnya Toyota C-HR kerana reka bentuknya yang menarik dan prestasi yang baik.
Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan penghargaan kepada NBT (Brunei) Sdn Bhd yang telah mengadakan acara cabutan bertuah sebagai tanpa penghargaan mereka kepada pelanggan NBT.

Pada majlis itu, cabutan dan penyampaian hadiah utama, kedua dan ketiga disempurnakan oleh Pengarah Urusan NBT (Brunei) Sdn Bhd, Haji Ahmad Omar bin Haji Husin.
Tempat kedua sekali gus membawa pulang baucar bernilai $5,000 dimenangi oleh Awang Hairulambri bin Haji Mohamadan manakala itu, Awang Mohammad Khairulanwar @ Mohammad Rosli bin Haji Jamil memenangi hadiah ketiga berupa baucar bernilai $3,000.
Sementara itu, tujuh orang pemenang bertuah lain memenangi dan membawa pulang baucar membeli-belah bernilai $500 setiap seorang di mana cabutan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengurus Jualan NBT, Cawangan Toyota Bunut, Awang Abdul Ghani bin Haji Abdul Hamid dan Pengurus Jualan NBT, Cawangan Toyota Gadong, Awang
Roland Ti.
Terdahulu sebelum itu, cabutan keenam bagi promosi itu iaitu bagi pelanggan yang membeli kenderaan Toyota dari 21 hingga 30 Mei, turut diadakan di mana cabutan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengurus Jualan NBT, Cawangan Toyota Kuala Belait, Anderson Lim.
Bagi cabutan keenam itu, hadiah pertama berupa baucar membeli-belah bernilai $3,000 dimenangi oleh Hii Moi Nah, hadiah kedua berupa baucar bernilai $2,000 dimenangi Haji Mohammad Washi bin Haji Muntol @ Haji Hidup dan hadiah ketiga berupa baucar bernilai $1,000 menjadi milik Hajah Nooraini binti Haji Mansor.
Haji Ahmad Omar bagi pihak NBT mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan sokongan yang luar biasa daripada pelanggan mereka sepanjang promosi.
Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya kepada masyarakat Brunei serta menyatakan slogan ‘Menang Dengan Toyota, Menang Dengan NBT’.