SHAH ALAM, 15 SEPT – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang akan terlibat dalam misi bencana banjir digalak mengutamakan pembelian produk tempatan sebagai barang sumbangan kepada mangsa.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata ia secara tidak langsung membantu pengusaha khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memajukan perniagaan mereka.
“Kita tahu rakyat Malaysia adalah rakyat yang budiman. Apa sahaja bencana berlaku, ramai yang tampil untuk beri bantuan.
“Cuma harapan saya, barangan bantuan itu pilihlah barangan buatan Malaysia kerana kita ada pelbagai jenis barangan untuk pakaian, makanan, peralatan elektrik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022 di sini hari ini. – Bernama