BEIRUT – Selepas bekerja keras berdekad-dekad lamanya, pembuat coklat Lubnan yang berjaya atas usaha sendiri, Roger Zakhour berfikir beliau boleh mewariskan perniagaannya kepada anak perempuannya, akan tetapi krisis ekonomi melanda perniagaan mereka.
Beliau dan anak perempuannya yang berusia 29 tahun menurunkan harga untuk aiskrim buatan mereka sendiri dan bukannya mengaut keuntungan pada Hari Natal ini.
“Jika ia berterusan seperti ini, dalam masa beberapa bulan saya akan gulung tikar,” kata lelaki berusia 61 tahun itu sambil duduk dalam kedainya yang kecil, dikelilingi oleh timbunan coklat beraneka warna hasil tangan mereka.
Di Lubnan yang dibelenggu bantahan, ekonomi meleset, kenaikan harga dan krisis kecairan teruk telah meninggalkan perniagaan tempatan bergelut untuk menangkis kemuflisan. Zakhour mula membuat coklat dan seterusnya aiskrim pada tahun 1990an, memperbaiki resipinya sehingga aiskrim beliau menjadi menu popular untuk hotel lima bintang dan golongan warga Lubnan yang berada.
Namun tatkala ekonomi bertambah teruk pada musim luruh, hotel mewah mengurangkan tempahan mereka secara mendadak dan pelanggan yang masuk ke kedai semakin berkurangan. Bank telah mengehad akses kepada dolar sejak akhir musim panas, menyebabkan harga meningkat tatkala pengimport bergelut untuk mendapatkan mata wang yang cukup untuk membeli bekalan.




“Kami sedang menuju ke satu tempat yang tidak pernah kami bayangkan,” kata Zakhour, yang baru sahaja menaik taraf dapurnya apabila jualan merosot.
Dalam usaha menghasilkan produk berkualiti tinggi, Zakhour mengimport bahan ramuannya, membayar dalam euro atau dolar. Namun dengan pengeluaran terbatas dan tidak adanya pemindahan wang luar negara, segala-galanya tidak dapat dilakukan sekarang.
“Sekarang apabila sesuatu kehabisan, itulah masalahnya,” kata beliau. Bantahan yang tidak pernah berlaku sebelumnya telah membelenggu Lubnan sejak 17 Oktober, dengan orang dari pelbagai latar belakang menuntut pembaik pulih menyeluruh dalam kelas politik yang dianggap oleh mereka sebagai tidak berguna dan korup.
Kerajaan meletak jawatan pada 29 Oktober, namun kemelut politik yang tidak habis-habis telah menangguh penubuhan kerajaan baharu untuk mengatasi keperluan terdesak pembaharuan ekonomi.
Perniagaan Zakhour hanya satu daripada beribu-ribu yang bergelut untuk bertahan.
Ramai warga Lubnan telah dipaksa menutup kedai, dan sebahagian besar telah dipecat atau melihat gaji mereka dikurangkan kepada separuh, walaupun apabila taraf hidup meningkat.
Menyaksikan kesemua ini berlaku, guru sekolah tadika berusia 31 tahun Lea Hedary Kreidi dan keluarganya memerah otak mereka untuk melihat bagaimana mereka dapat membantu. Sejurus selepas bantahan bermula, mereka melancarkan satu kumpulan dalam Facebook bergelar ‘Dibuat di Lubnan – Kumpulan Produk Lubnan’ untuk menggalak penduduk Lubnan membeli produk keluaran tempatan.
Dalam masa dua bulan sahaja, mereka mengumpul lebih daripada 32,000 anggota, yang menyiar iklan untuk barangan keluaran tempatan atau buatan tempatan, atau meminta alternatif tempatan kepada produk import.
“Kami sudah biasa membeli apa yang dibeli oleh ibu kami. Kami mengambil apa yang ada di depan kami tanpa memeriksa sama ada ia dibuat di Lubnan atau tidak,” kata beliau, duduk di rumah bersebelahan dengan sebatang pokok Krismas.
Namun terdapat opsyen keluaran tempatan untuk pelbagai produk, termasuk sabun, syampu, lampin, mentega kacang, sos tomato dan blok pembinaan kanak-kanak.
“Saya berasa terkejut dengan begitu banyak barangan yang ada yang tidak diketahui saya,” kata ibu kepada seorang anak damit lelaki.
Dalam kempennya untuk menyokong rakan-rakan senegara, Kreidi kini tidak mengunjungi pasar raya yang biasa dikunjungi dan memilih kedai runcit yang lebih kecil.
Krismas ini, hanya kanak-kanak dalam keluarganya yang akan menerima hadiah, yang mana kesemuanya dibuat di Lubnan.
Di Beirut, pengurus bar Rani al-Rajji berkata beliau juga perlu menyesuaikan diri – beralih daripada import yang semakin mahal sementara juga membeli barangan yang mampu.
“Seberapa boleh, saya cuba mengurangkan bebanan agar pengunjung kami tidak terasa mereka telah kehilangan kuasa pembelian mereka dan tidak mampu keluar lagi,” kata lelaki berusia 43 tahun itu, yang juga seorang arkitek. Untuk melakukannya, beliau dan pengasas bersama berusaha menambah jenama tempatan daripada satu perlima kepada kira-kira separuh daripada kesemua bekalan bar dan dapur.
“Kami cuba menggunakan produk tempatan untuk kesemuanya dengan alternatif dibuat di Lubnan,” kata beliau, duduk di bar.
Dan mereka juga berusaha mengurangkan kos pembungkusan dan pemasaran yang tidak perlu, menghidangkan wain secara terus dari tong dan bir dari tong kecil.
“Kami tidak dapat mengganti segala-galanya, namun kami boleh berusaha memberikan produk Lubnan lebih pengaruh, menggalak penggunaan mereka,” kata beliau.
Namun sesetengah pengguna yang kesempitan wang berkata membeli produk tempatan bukan kebimbangan utama mereka. Di sebuah pasar raya Beirut, Mariam Rabbah, 35, membawa bakul yang kosong tertanya-tanya apa yang dibeli dengan gajinya yang kurang.
“Segala-galanya lebih mahal dan kami hanya dibayar separuh sekarang,” katanya.
“Sekarang apa yang kami peduli adalah sama ada sesuatu adalah murah dan berkualiti baik, bukannya sama ada ia diimport atau buatan Lubnan.” – AFP