Oleh Fadzli Ramli
MELAKA – Mara Clay, 22, Meaghan Waff, 22, Meera Doshi, 23 dan Sarah Stanford, 23, adalah antara 100 belia Amerika yang berada di negara ini dalam usaha untuk menggalakkan pelajar menengah Malaysia berbahasa Inggeris.
Kumpulan belia program Fullbright nglish Teaching Assistants (ETA) itu tiba dari Amerika Syarikat (AS) pada awal Januari untuk bertugas sebagai pembantu guru bahasa Inggeris di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara sehingga akhir tahun persekolahan.
Keempat-empat mereka yang ditempatkan di sekolah di sini dan di pinggir bandar telah dalam masa yang singkat berjaya mengenal pasti pelbagai permasalahan yang menjadi kekangan kepada pelajar Malaysia untuk memperbaiki penggunaan bahasa Inggeris.
Pada masa sama, belia-belia Amerika itu juga mempelajari adat dan budaya tempatan, selain berpeluang menikmati pelbagai makanan di Malaysia.
Perkara pertama yang mereka kenal pasti adalah rakyat Malaysia agak malu, dengan itu secara semula jadi mereka tidak mudah untuk berkomunikasi dengan orang asing atau bertutur dalam bahasa Inggeris.


Pelajar enggan berbahasa Inggeris
Sarah, peserta ETA yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Alor Gajah dekat sini berkata para pelajar di situ bukan sahaja pemalu, malah gugup apabila bercakap dalam bahasa asing. Mereka bimbang jika tersalah sebutan atau tatabahasa, namun itu tidak sepatutnya menghalang mereka daripada bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Mereka mempelajari sesuatu apabila berlaku kesilapan, dan ini lebih baik daripada tidak berbahasa Inggeris sama sekali. Saya sangat suka melihat pelajar yang cuba berbual dengan saya dalam bahasa Inggeris, tetapi mereka berhenti dan tertawa apabila membuat kesilapan.”
“Saya selalu menasihati pelajar supaya tidak malu, kerana apabila tersilap, saya
boleh bantu membetulkannya. Sebaliknya, jika mereka malu dan tidak mahu mencuba langsung, saya tidak dapat membantu,” kata gadis yang berasal dari Buffalo, New York, AS itu.
Satu lagi perkara yang disedari Sarah adalah para pelajar dengan cepat akan meminta maaf atas kesilapan mereka, sesuatu yang pada pendapat beliau, tidak diperlukan ketika seseorang masih belajar.
“Sebaliknya mereka hanya perlu tanya dan belajar apa yang betul,” tambahnya.
Bahasa Inggeris menyeronokkan
Sementara itu, Meaghan yang sependapat dengan Sarah bahawa pelajar Malaysia sangat pemalu berkata untuk memudahkan pembelajaran, beliau meminta pelajarnya menyanyikan lagu-lagu bahasa Inggeris, sambil membimbing cara menyebut perkataan-perkataan yang diajar ke dalam lagu itu.
“Memang pelajar membuat banyak kesilapan dan mereka sangat malu bila tersalah, tetapi saya mengingatkan mereka supaya tidak mempedulikannya, teruskan menyanyi dan bertutur dalam
bahasa Inggeris supaya dapat mempelajari dan membiasakan bahasa itu.”
“Saya hanya mahu mereka berseronok dan memberitahu mereka bahawa pembelajaran Bahasa Inggeris sangat menyeronokkan,” kata peserta ETA itu yang ditugaskan di SMK Dato’ Dol Said di Alor Gajah dekat sini.
Meaghan yang berasal dari Chicago berkata satu perkara yang paling menyeronokkan adalah apabila berbual tentang makanan kerana pelajar sudah biasa dengan subjek itu dan bersedia untuk bercerita mengenainya.

Beliau menggalakkan para pelajar agar lebih banyak bercakap dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan makanan sebagai subjek.
“Saya bertanyakan soalan-soalan paling mudah seperti ‘kamu sudah makan?’ atau ‘apa kamu makan untuk sarapan?,’ yang merupakan permulaan berkesan untuk membiasakan mereka berbual dalam bahasa Inggeris.”
“Ini membangkitkan minat mereka dan seterusnya kami akan berbual mengenai makanan terbaik yang pernah mereka nikmati di Melaka, dan kesemua pelajar sependapat memilih Melaka Coconut Shake,” jelas Meaghan yang gemarkan makanan Malaysia.
Meaghan berbangga kerana dapat turut menyumbang ke arah usaha membina generasi dan komuniti antarabangsa yang lebih baik demi kepentingan sejagat menerusi program ETA.
Mencari kaedah terbaik
Mara, peserta ETA yang berasal dari Minnesota pula kini ditempatkan di SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub di Jasin.
Beliau menegaskan bahawa peserta-peserta ETA saling berusaha dalam memupuk minat para pelajar dan bekerjasama mencari kaedah terbaik untuk menarik penyertaan pelajar mempelajari bahasa Inggeris.
“Tahun ini kami memberi tumpuan kepada pelajar tingkatan satu. Bukan sahaja peserta ETA malah guru-guru di sekolah-sekolah yang terlibat melakukannya secara berkumpulan.”
“Satu perkara yang saya pelajari dari sumbang saran (brainstorming) berkumpulan adalah penggunaan media sosial seperti Instagram di mana saya dapat menggalakkan pelajar agar bertutur dalam bahasa Inggeris,” katanya.
“Bahasa Inggeris bukan sekadar bahasa malah sebagai medium untuk menjalin persahabatan dan membina keyakinan diri, jadi penting bagi kanak-kanak mempelajarinya,” kata Mara yang gemarkan hidangan restoran mamak.
Meera, yang ditugaskan di SMK Datuk Bendahara di Jasin pula berharap dapat memupuk minat generasi muda terhadap bahasa Inggeris dalam tempoh program yang singkat itu.
“Penting untuk membentuk kalangan muda dengan betul dan mewujudkan identiti yang kuat. Saya menggalakkan pelajar supaya mengambil bahagian dalam aktiviti di luar kelas termasuk kerja-kerja sukarela dan inilah cara untuk menarik penyertaan mereka dalam aktiviti berbahasa Inggeris,” katanya yang berasal dari New Jersey.
Dalam pada itu, peserta-peserta muda dari Amerika ini pula banyak mempelajari pelbagai aspek mengenai Malaysia memandangkan saban hari mereka hidup dan berinteraksi dengan masyarakat tempatan. – Bernama