Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Komitmen Negara Brunei Darussalam kepada kemampanan alam sekitar diketengahkan semasa Forum Sukarelawan Belia ASEAN 2025 apabila Natasya Emeralda Leong yang mewakili negara sebagai ahli panel dalam Sesi 2: Green Horizons-Youth Driving Environmental Change pada forum yang berlangsung di Sasana Kijang Auditorium, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biodiversity and Wildlife Conservation Society Brunei (BruWILD), di sini, forum berkenaan menghimpunkan lebih daripada tiga ribu peserta belia daripada seluruh Asia Tenggara.
Sebagai wakil BruWILD, Natasya mengongsi pandangannya mengenai tindakan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan kepimpinan alam sekitar akar umbi yang diterajui belia di Brunei.
Semasa sesi berkenaan, pembuat-pembuat perubahan dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei memberikan gambaran mengenai momentum yang semakin berkembang dalam meletakkan belia di tengah-tengah kemampanan alam sekitar.
Natasya turut menyatakan ini merupakan satu penghormatan baginya untuk menyertai rakan-rakan sebaya serantau dalam memajukan pemerkasaan belia dalam pemuliharaan yang mana ia bukan hanya satu perbincangan tetapi satu seruan untuk bertindak, bekerjasama demi keadilan iklim yang diterajui belia.
Di bawah tema, ASEAN Youth: Catalyts for Inclusive and Sustainable Communities, forum berkenaan bermatlamat untuk memperkasa pemimpin muda untuk menangani isu-isu serantau yang mendesak menerusi kesukarelawanan, inovasi dan kolaborasi rentas sempadan.
Sesi panel kedua berkenaan mengetengahkan perbincangan yang meliputi penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim menerusi tindakan belia, amalan alam sekitar berpandukan komuniti serta kerjasama serantau bagi pembangunan mampan.
Sesi panel berkenaan adalah selaras dengan komitmen ASEAN kepada perlindungan alam sekitar serta UN SDGs 13 iaitu Tindakan Iklim dan UN SDGs 15 iaitu Kehidupan di Darat.
Forum Sukarelawan Belia ASEAN 2025 merupakan sebuah platform serantau yang memupuk perubahan diterajui belia dalam bidang-bidang seperti kemampanan alam sekitar, inovasi digital, pertumbuhan inklusif dan keharmonian sosial.
Acara itu turut mengetengahkan sesi dialog peringkat tinggi, peluang rangkaian dan panel diterajui belia dengan wakil-wakil daripada kesemua negara anggota ASEAN.




