Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia Brunei mampu lakukan perubahan

    Oleh Sim Y.H.

    Kira-kira 60 peratus penduduk Komanwel terdiri daripada golongan belia yang berusia di bawah 30 tahun dan oleh itu mereka merupakan masa hadapan Komanwel dengan segala usaha harus dilaksanakan bagi membolehkan golongan belia Komanwel mencapai aspirasi mereka.

    Pada masa yang sama, golongan belia harus memahami bahawa terdapat peluang yang luas terbuka di hadapan mereka di mana Komanwel mempunyai jumlah golongan muda yang terbanyak dalam rantau Asia sebagai sumber penting Komanwel.

    Perkara yang perlu ditekankan ialah negara-negara Komanwel Rantau Asia harus memudahkan serta mempersiapkan golongan berkenaan dengan pendidikan, latihan, dan kemahiran yang mereka perlukan untuk memanfaatkan peluang luas yang terbuka kepada mereka.

    “Jika kita gagal untuk melabur dalam diri mereka dan jika kita tidak memberikan peluang kepada mereka untuk meneroka inovasi mereka, maka kita tidak akan mempunyai dunia yang kita hajati.”

    Oleh itu, kita berada pada saat yang amat penting dan kritikal di mana kita memerlukan inovasi, peluang serta tindakan yang kukuh, tekan Setiausaha Agung Komanwel, Puan Yang Terutama Patricia Scotland dalam temu bual sampingan bersama Media Permata ketika Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Belia Komanwel (Rantau Asia) di Gadong, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

    PYT Patricia Scotland percaya bahawa golongan belia Komanwel termasuk belia Brunei harus memanfaatkan sepenuhnya peluang yang terbuka luas di hadapan mereka bagi menerajui perubahan yang bermakna.

    PYT Patricia Scotland ketika menjawab mengenai mesejnya kepada belia di Brunei, percaya bahawa belia di Brunei mempunyai peluang untuk membuat perubahan yang bermakna kepada dunia kerana dalam dunia masa kini yang saling berhubungan, mereka boleh melakukan perubahan itu di mana saja.

    “Jika di lihat dari isu seperti perubahan iklim, kepintaran manusia telah membawa kepada masalah itu dan kepintaran manusia juga dipercayai dapat menyelesaikan masalah itu,” tambahnya.

    “Saya yakin terdapat bakat-bakat inovatif di Negara Brunei Darussalam yang akan berkeupayaan dan mempunyai kapasiti untuk menjana penyelesaian yang kita perlukan untuk merawat dunia kita.”

    Mempercayai diri sendiri

    Oleh itu, beliau inginkan belia di Brunei untuk percaya dalam diri mereka sendiri, percaya dalam keupayaan mereka dan kepintaran mereka yang dikurniakan kepada mereka di mana ia menjadi tanggungjawab mereka untuk mengilap bakat yang diberikan serta untuk menggunakannya sebaik mungkin bagi manfaat semua.

    PYT Patricia Scotland amat memuji komitmen Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkenan berangkat menyertai acara-acara sukan serta penglibatan Baginda dengan belia negara. “Komitmen Baginda Sultan terhadap sukan, aktiviti-aktiviti dan golongan muda harus disanjungi,” tambahnya.

    Pada masa yang sama, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam, ulasnya amat komited dalam merangka program yang aktif dan amat penting bagi golongan muda yang dapat memanfaatkan program-program yang dilaksanakan bagi kepentingan mereka.

    Menurutnya, Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Belia Komanwel (Rantau Asia) menunjukkan komitmen Brunei bersama-sama negara-negara anggota Komanwel Rantau Asia yang lain untuk berkongsi pengalaman serta mengilap kemahiran mereka dalam menilai perkara yang boleh dilaksanakan dan mana yang tidak boleh.

    Ia juga dapat menjadi platform bagi Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel 2020 di mana perkara-perkara yang dibincangkan semasa mesyuarat pegawai kanan belia Komanwel boleh dijadikan agenda bagi tahun ini dan juga tahun hadapan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda