Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program dedahkan belia Brunei ke dunia diplomasi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Belia Brunei semakin mendekati dunia hal ehwal global melalui program Young Aspiring Diplomats, iaitu sebuah inisiatif yang diketuai oleh golongan belia anjuran ASEAN Youth Advocates Network (AYAN) Brunei.

    Inisiatif ini menghubungkan belia tempatan dengan Kedutaan Timor-Leste melalui lawatan dan pembentangan mengenai diplomasi yang disampaikan oleh Bekas Duta Brunei ke Timor-Leste, Norazlinah Ibrahim.

    Lawatan yang diadakan baru-baru ini turut diisi dengan sesi perbincangan meja bulat bersama Duta Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Abel Guterres.

    Semasa sesi tersebut, Norazlinah telah berkongsi pengalaman dan refleksinya tentang diplomasi, memberikan pandangan praktikal tentang kerumitan, nilai-nilai, dan tanggungjawab menjalankan tugas di luar negara serta turut menekankan pentingnya ketahanan, pemahaman budaya, dan pembinaan kepercayaan dalam hubungan antarabangsa.

    Sementara itu, Duta Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Abel Guterres pada sesi itu dengan menceritakan perjalanan sejarah Timor-Leste menuju kemerdekaan, pembinaan negara, dan penglibatan dengan ASEAN.

    Selain berkongsi cerita peribadinya tentang bagaimana beliau menjadi duta, yang memberi inspirasi mendalam kepada para peserta dan menimbulkan minat dalam bidang diplomasi.

    Sebagai sebahagian daripada misi serantau AYAN yang lebih luas, program ini mengukuhkan semangat serantau ASEAN dan penglibatan belia dalam hubungan luar negara.

    Para peserta akan meneroka hubungan diplomatik Brunei dengan bakal negara anggota ASEAN: Timor-Leste, sambil mempelajari tentang operasi dalaman kedutaan, etika diplomatik, dan kepentingan soft power.

    AYAN Brunei komited untuk menyediakan platform yang memberdayakan golongan belia agar memainkan peranan aktif dalam membentuk kerjasama serantau dan diplomasi masa depan.

    Melalui inisiatif ini, belia juga digalakkan untuk menjadi warganegara global yang berpengetahuan luas, celik budaya dan bersedia untuk berkhidmat.

    Gambar beramai belia Brunei bersama Duta Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Abel Guterres
    Duta Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Abel Guterres semasa pertemuan dengan belia Brunei.
    Salah seorang belia Brunei menerima penghargaan dari Tuan Yang Terutama Abel Guterres
    Norazlinah Ibrahim menerima penghargaan semasa lawatan itu.- GAMBAR-GAMBAR SERAHAN AYAN BRUNEI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda