BEIJING – Sebuah kampung menutup penganiayaan dan penganalisisan dasar tiga anak – ledakan podcast China sedang bergelut dengan isu sosial yang dianggap perkara larangan di bawah kawalan media yang ketat dalam negara itu.
Lebih daripada 7,000 podcast baharu disiarkan dalam talian pada tahun lalu dengan penonton diramalkan mencecah 10 juta – kumpulan kecil namun berkembang pesat dalam pasaran terbesar dunia untuk isi kandungan web audio.
Sementara aktiviti podcast telah lama membentuk sebahagian besar daripada minat media barat, ia baru sahaja diterima dalam ekosistem media yang dikawal ketat oleh China, berfungsi sebagai analisis sosial kritikal serta mesej positif.
Bagi pelajar Cheng Yifan, yang mendengar siaran podcast setiap malam, ia memberikan nafas baharu.
“Podcast kurang mematuhi norma-norma sosial berbanding platform media tradisional,” beritahu Cheng, 19, kepada AFP.



“Media mungkin bersikap lebih menyokong dan memuji topik seperti ‘tenaga positif’, misalnya, tetapi kekurangan elemen kritikan,” kata beliau.
Pada tahun lalu, dua orang pelajar – seorang yang menghasilkan video meniru guru sekolah dan seorang lagi menulis sebuah esei nada sinis – digesa supaya menyampaikan ‘tenaga positif’, mendorong frasa tersebut menjadi perbendaharaan kata awam.
Cheng adalah antara 100 pendengar dari seluruh China yang mengunjungi sebuah kedai buku Beijing pada hujung minggu baru-baru ini untuk bertemu dengan pengacara The Weirdo, salah satu podcast kegemarannya.
“Saya berharap pendengar kami mempunyai pemikiran luas dan boleh bersikap lebih terbuka kepada idea berlainan,” kata Meng Chang, 34, salah seorang pengacara bersama program tersebut.
“Tidak adanya betul dan salah. Isu yang sensitif juga harus dibincangkan.”
Podcast popular telah meninjau isu kadar kelahiran rendah di China dan menganjur perbincangan dengan tokoh berpengaruh seperti duta British ke China, justeru mewujudkan ruang popular dalam industri audio yang semakin berkembang yang sebelum ini didominasi oleh buku audio dan kelas pembelajaran dalam talian.
“Pendengar podcast kebanyakannya terdiri daripada golongan muda yang telah menerima pendidikan lebih tinggi, tinggal di bandar kelas pertama atau kedua,” kata Wang Qing, 31, seorang lagi pengacara The Weirdo.
Kumpulan berkenaan lebih rela menerima isi kandungan lebih komprehensif dan menyeluruh, kata Kou Aizhe, pengasas StoryFM berusia 38 tahun, satu podcast yang memaparkan kisah orang pertama dari pelbagai lapisan masyarakat. Kou sendiri mempunyai 1.2 juta penonton. Yang Yi, pengasas bersama firma podcast JustPod, menganggarkan saiz pasaran akan meningkat kepada 10 juta, masih sebahagian kecil daripada populasi China.
Bagi kebanyakan pendengar, isi kandungan kurang konvensional menjadi tarikan utama.
Di StoryFM, seorang guru menceritakan bagaimana dia diperkosa di sebuah kampung dan seorang pekerja seks menjelaskan bagaimana dia diperdaya dalam industri tersebut.
“Apabila orang memberitahu kisah mereka sendiri, wujudnya emosi sebenar, ia dengan segera membawa anda ke dalam dunia mereka dan membantu anda memahami pengalaman dan pilihan mereka,” kata Kou.
Walaupun tidak bersifat terlalu politik, episodnya menyentuh tema yang ada kalanya dikeluarkan daripada web.
Homoseksual telah diharamkan dalam filem di China pada 1997 sementara aktivis feminis semakin menjadi sasaran dalam media sosial.
Wang daripada firma The Weirdo berkata kumpulannya membincang isu yang popular dalam kalangan orang muda, seperti budaya kerja ‘996’ di mana kakitangan bekerja keras dari 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu.
“Apabila kami berbicara mengenai topik LGBT, ia merupakan trend stigma yang tidak boleh dibincang di khalayak ramai, dan kami berharap ia dapat mewujudkan kisah positif,” tambahnya.
“Sekurang-kurangnya terdapat ruang untuk penjelasan.”
Platform audio kini bergantung pada teknologi baharu untuk mengembangkan trend popular itu.
Lizhi yang disenarai di Nasdaq telah bergabung dengan pengeluar kereta seperti XPeng untuk memasang podcast penstriman dalam sistem hiburan kereta, mengambil kesempatan ke atas jualan kenderaan elektrik untuk merangsang jumlah pendengar.
Namun untuk melanjutkan ketahanan isi kandungan, pencipta isi kandungan mesti membuat perancangan teliti.
Pada tahun lalu, satu episod dalam SurplusValue lenyap daripada aplikasi China – temu bual podcast kebudayaan dengan seorang profesor mengenai kesan pandemik membabitkan beberapa pandangan yang mengkritik kerajaan.
Rancangan itu dibatalkan akhirnya dan bekas pemberita di sebalik rancangan itu menghasilkan satu program baharu, Stochastic Volatility.
“Sistem penapisan merupakan satu isu yang dihadapi oleh semua dalam media China,” menurut pengacara bersama Fu Shiye.
“Apa yang boleh kami lakukan adalah meluahkan perasaan kami pada tahap tertinggi dalam cara yang kami rasa selamat,” tambahnya.
Pengasas pula akan memilih topik yang telah pun dibenarkan dalam talian atau isu kurang sensitif.
Kou dari StoryFM berkata hanya dua daripada 500 episod beliau telah dikeluarkan, satu mengenai tekanan rakan sebaya dan satu lagi mengenai kehilangan pekerjaan semasa wabak koronavirus.
Namun episod yang lain tidak bernasib baik, yang mana segmen perlu dipotong atau episod digugurkan daripada platform China.
“Apabila satu medium menjadi popular, penapisan tidak dapat dielakkan,” kata Yang dari JustPod. “Ia merupakan satu pengiktirafan tentang pengaruh anda.” – AFP