Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Golongan belia dinasihatkan untuk memahami signifikannya bagi mereka supaya terus berdaya saing secara global, mencabar diri mereka untuk keluar dari zon selesa masing-masing, pentingnya membaca, proaktif untuk mengambil bahagian dalam inisiatif dan persatuan belia serta mempunyai sikap ingin tahu.
Nasihat itu diutarakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh semasa sesi dialog 6th Youth Town Hall yang membawa tema Developing an Inclusive and Dynamic Economy through Education, di Bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Rangkaian Profesional Muda (YPN) Brunei, di sini, acara berkenaan dihadiri oleh lebih 500 orang belia yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), YPN Brunei serta disokong oleh Kementerian Pendidikan. Sesi dialog itu mengetengahkan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah dengan Penolong Ketua Pegawai (Belia), Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, Dr Muhammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan selaku moderator.
Sesi dialog bermula dengan perbincangan mengenai bajet di mana Yang Berhormat Datin mengongsi bagaimana peruntukan Kementerian Pendidikan ditetapkan dan diagihkan yang selaras dengan bagaimana Brunei mengurus cabaran-cabaran semasa pandemik apabila sekolah-sekolah ditutup dan bagaimana pendidikan perlu diteruskan secara dalam talian pada masa berkenaan.
Yang Berhormat Datin juga mengongsi mengenai pentingnya bagi melabur dalam pendidikan kepada masa depan negara. Dalam pertukaran bersama para peserta dialog, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah mengongsi mengenai jurang yang perlu ditangani termasuk pembangunan kesejahteraan emosi dan sosial bagi mempersiapkan belia untuk masa depan serta membangunkan pelbagai laluan sebagai sebahagian daripada inklusiviti termasuk kurikulum bagi mereka yang berkeperluan khas, pendidikan teknikal sebagai respons kepada permintaan berasaskan industri bagi pembangunan kompetensi serta menggalakkan pendidikan STEAM.
Ketua Projek bagi Youth Town Hall & Core Team, YPN Brunei, Awang Mohammad Ashmeer Imtiaz Ahmad dipetik menyatakan bahawa tema bagi sesi dialog berkenaan meliputi dua tonggak utama Wawasan Brunei 2035 iaitu pendidikan dan ekonomi.
Menerusi sesi itu, jelasnya, kita telah menyaksikan pertukaran dinamik di antara Yang Berhormat Datin dengan para peserta dialog yang meliputi isu-isu seperti bajet, sumber, keutamaan Kementerian Pendidikan dan perkaitan SPN, kemahiran bagi daya saing serta aliran pendidikan keperluan khas sebagai sebahagian daripada inklusiviti.
Beliau berkata bahawa pihaknya telah menjana sebuah platform menerusi sesi dialog berkenaan untuk membolehkan belia terlibat sama dalam pembangunan kebangsaan. Ia merupakan usaha untuk membangunkan sebuah generasi yang berpandukan penyelesaian di mana ia bermula dengan memahami selok-belok dan cabaran-cabaran kepada pembangunan dalam pendidikan masa kini.