Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia diseru tingkat kemahiran keusahawanan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Belia-belia di negara ini diseru untuk merebut peluang meningkatkan kemahiran melalui pelbagai platform seperti Program Youth Business Pitch yang telah dilancarkan oleh Keusahawanan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Entreprenuership, Innovation, Community and Outreach.

    “Program-program seumpama itu adalah sebagai usaha untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” tekan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada hari keempat permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Selain itu, katanya, program-program yang telah disediakan oleh kerajaan mahupun sektor swasta dan pelbagai agensi berkepentingan itu juga bertujuan untuk melibatkan para belia dalam bidang perniagaan yang berpotensi untuk dikembangmajukan dan diperkasa ke arah mendukung ekosistem keusahawanan anak tempatan di negara ini.

    Menurutnya lagi, para peniaga di bawah Program Satu Kampung Satu Produk (1K1P) juga akan diberikan kursus dan latihan kemahiran, khususnya dalam hal ehwal perniagaan bagi memberi pendedahan dan mengembangkan kompetensi peniaga-peniaga dalam mengendalikan perniagaan masing-masing.

    Kursus dan latihan tersebut dihasratkan akan dapat mendukung memperkembangkan penghasilan, penjenamaan dan pemasaran produk 1K1P bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi juga untuk peluang dieksport keluar negara.

    Selain itu, Universiti Brunei Darussalam melalui Sekolah Perniagaan dan Ekonomi telah berjaya diterima sebagai ahli Babson Collaborative for Entrepreneurship Education.

    Ini akan membantu memajukan kaedah pengajaran, penyelidikan serta keupayaan perundingan khususnya dalam pendidikan keusahawanan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda