Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Masyarakat, terutamanya para belia perlu dilengkapi dengan ilmu, kemahiran dan nilai diri yang kukuh berlandaskan Melayu Islam Beraja (MIB) dalam usaha membina daya ketahanan diri menghadapi cabaran yang mampu mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup.
Ia termasuk tabiat menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa memandu, memandu melebihi had laju dan memandu di bawah pengaruh alkohol di mana kesemua itu, boleh menjejaskan pengguna jalan raya dan sikap itu, perlu dielakkan sama sekali oleh mereka.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 1.25 juta kehilangan nyawa setiap tahun akibat kemalangan jalan raya dan WHO juga menyatakan risiko kemalangan terjadi meningkat sebanyak empat kali ganda apabila menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Tabiat itu amat membimbangkan kerana ia masih berleluasa dalam kalangan pemandu di Brunei, jelas Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof ketika berucap di Majlis Perasmian Projek Memperkasa Masyarakat Berdaya Tahan Menuju Wawasan 2035 dan Majlis Pelancaran Kempen Berhemah di Jalan Raya 2018 yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.
Beliau mendedahkan bahawa kajian yang dibuat oleh Pusat Penyelidikan Pengangkutan, Universiti Teknologi Brunei ke atas empat batang jalan raya utama sahaja menunjukkan sekurang-kurangkan dua daripada 10 orang pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Saya berpendapat nisbah ini belum menggambarkan keadaan yang sebenarnya,” tegas Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib lagi.
Beliau menerangkan lagi bahawa hasil daripada operasi yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat pada April dan Mei 2018 sahaja, seramai 10 orang pemandu telah dikenakan kompaun setiap seorang sebanyak $200 dan 12 mata demerit Sistem Keselamatan Amalan Pemandu (SiKAP) bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Beliau turut menekankan bahawa tabiat tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa memandu juga salah satu nilai jati diri yang perlu diperbaiki.
“Perlu kita ketahui bahawa menurut satu kaji selidik yang telah dibuat oleh WHO, pemakaian tali pinggang keledar semasa kejadian kemalangan boleh mengurangkan risiko nahas sebanyak 40 ke 50 peratus bagi pemandu dan penumpang di hadapan dalam kenderaan. Manakala bagi penumpang di belakang pengurangan sebanyak 25 peratus,” tambahnya.
Beliau berkata bahawa tabiat itu juga masih berleluasa dalam kalangan pemandu di negara ini di mana ia terbukti daripada operasi Jabatan Pengangkutan Darat pada April dan Mei lalu dengan sekurang-kurangnya 17 pemandu setiap seorang dikenakan kompaun $150 dan sembilan mata demerit SiKAP. Ia merupakan satu isu yang sangat diambil berat oleh semua pihak.
“Lebih membimbangkan juga adalah tabiat memandu di bawah pengaruh alkohol. Pada tahun ini sahaja, dua kes kemalangan kehilangan nyawa telah direkodkan akibat memandu di bawah pengaruh alkohol. Salah satu daripada kes yang menyayat hati dan patut diambil perhatian serius ialah apabila mangsa yang terkorban bukanlah pemandu berkenaan tetapi seorang belia yang nahas kemalangan berpunca daripada pemandu yang di bawah pengaruh alkohol,” tambah Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib.
Mengulas mengenai Kempen Berhemah di Jalan Raya, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib yakin bahawa ia dapat memberikan manfaat berpanjangan khususnya dalam membudayakan kesedaran keselamatan diri dan menanamkan amalan memandu yang berhemah di kalangan para pengguna jalan raya. Beliau juga mengalu-alukan penyertaan masyarakat awam dalam program berkenaan serta menyeru pihak badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk mengadakan inisiatif masing-masing ke arah kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.