Thursday, January 30, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia harus bersaing, teroka pasaran baharu

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Golongan belia harus mampu bersaing dan meneroka pasaran serta peluang baharu, lebih-lebih lagi berupaya untuk menembusi pasaran luar negara.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19 di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Baginda bertitah ingin melihat ramai golongan belia mempelopori bidang keusahawanan dan perniagaan dan menyeru agensi-agensi berkenaan untuk meningkatkan usaha dan memikirkan tatacara mudah bagi belia menceburi perniagaan dan sebagainya, termasuk memudahkan urusan pinjaman modal perniagaan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam bidang inovasi dan teknologi.

    Baginda juga mengambil maklum mengenai sumbangan belia ke arah Matlamat Pembangunan Mampan dengan pelaksanaan Dialog Belia Pembangunan Mampan Kohort ke-2 dengan memfokuskan kepada tanggungjawab penggunaan dan pengeluaran.

    Selain itu, Baginda berharap ia dapat menjadi wadah bagi belia meneruskan usaha ke arah mencipta masa depan yang cemerlang.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19 di ICC, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Baginda turut mengingatkan, dalam mengejar kejayaan, golongan belia hendaklah tetap mengekalkan ciri keBruneian, dengan mematuhi dan menghormati hukum-hukum agama dan undang-undang.

    Pada sambutan Hari Belia Kebangsaan itu, Baginda bertitah menegaskan, generasi belia adalah sumber tenaga sangat berharga, maju dan mundurnya bangsa berkait rapat dengan prestasi belia.

    ‘Belia Harapan Bangsa’ adalah ungkapan yang sering diucapkan yang membawa makna sangat besar dalam menerajui pembangunan negara.

    Baginda turut menekankan ingin melihat lebih ramai golongan belia cemerlang yang berani mendepani perubahan dan meneroka bidang-bidang baharu dalam masyarakat.

    “Kerajaan Brunei melalui kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi mewujudkan pembangunan mampan.

    “Kerjasama padu melalui pendekatan senegara adalah penting untuk dijadikan amalan ke arah memastikan rantaian ekosistem berjaya diwujudkan selaras dengan pertumbuhan ekonomi secara berterusan,” tegas Baginda.

    Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada setiap 1 Ogos merupakan pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan golongan belia dalam pembangunan negara.

    Pada penghujung titah sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-19, bertema Belia Siaga Masa Depan, Baginda Sultan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda