Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 14 Ogos – Seramai 15 orang belia dari Kelab Belia Nadi Al-Muhibbin (KENABIN) dari Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang telah mengikuti Program Belia Cintakan Masjid selama dua hari yang berakhir kelmarin di Masjid RPN Bukit Beruang, Tutong.
Pengerusi KENABIN, Awang Mohd Padini bin Ta’ai, berkata, Program Belia Cintakan Masjid itu berlangsung selama empat hari iaitu bermula pada 12 hingga 13 Ogos dan akan diadakan lagi pada 25 dan 26 Ogos bersempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-12.
Program itu merupakan julung kalinya diungkayahkan oleh KENABIN, yang bertujuan untuk menyesuaikan diri mereka dengan beberapa ahli Kenabin di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama belia-belia masjid, mengisi peluang kepada belia-belia supaya mereka tidak bosan berada di rumah dan seterusnya mendekatkan para belia dengan masjid.
Melalui program tersebut, Awang Mohd Padini turut menjelaskan para peserta program akan menjalankan beberapa aktiviti seperti senamrobik, mendengar tazkirah, qiamullail, walkaton dan Perlawanan Futsal.
Kelmarin, program sesi pertama yang disertai mereka dimulakan dengan acara walkaton dari Masjid RPN Bukit Beruang hingga ke Tapak Masjid Lama Kampung Bukit Beruang yang kemudian diteruskan dengan kempen kebersihan di Tapak Masjid Lama dan Masjid RPN Bukit Beruang.
“Dengan adanya program itu, ia akan dapat melatih para belia untuk bergiat aktif dalam apa jua aktiviti dan tidak terjerumus kepada gejala yang tidak berfaedah di samping menggalakkan para belia khususnya belia-belia yang tinggal di RPN Bukit Beruang dan sekitarnya untuk mengimarahkan lagi masjid sesuai dengan konsep Negara Zikir,” kata Awang Mohd Padini.