Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Rombongan seramai 10 orang belia dari Republik Korea bagi menyertai Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea 2017 hari ini tiba di negara ini.
Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan kedatangan rombongan yang diketuai oleh pegawai dari Kementerian Kesaksamaan Gender dan Keluarga, Republik Korea, Baek Hyeonseok tersebut ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sepanjang program pertukaran belia yang akan berlangsung selama 10 hari hingga 9 November itu, rombongan akan berkesempatan untuk mengadakan lawatan ke Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Pusat Pembangunan Belia, Universiti Brunei Darussalam, Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Galeri Sukan, Sekolah Antarabangsa Brunei, Darussalam Enterprise (DARe), menyaksikan kemeriahan Bandarku Ceria dan sebagainya termasuk inap desa bersama keluarga angkat selama dua hari.
Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea telah ditandatangani di bawah perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua buah negara pada tahun 2009 yang antara lain bertujuan bagi membantu dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua buah negara.
Ia juga bertujuan bagi meningkatkan persefahaman dan kepercayaan kedua belah pihak melalui penyertaan belia dalam program berkenaan.
Menerusi usaha itu, kedua-dua belah pihak percaya belia-belia akan memperolehi faedah daripadanya seperti persefahaman kebudayaan, ekonomi sosial dan politik.