Tuesday, February 25, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia Korea lawat Syarikat Ghanim

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Rombongan seramai 10 orang belia dari Republik Korea yang berada di negara ini bagi Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea 2017, hari ini, telah mengadakan lawatan ke Brunei Halal di Kompleks Warisan Mata-Mata Gadong.

    Semasa lawatan itu, rombongan mendengarkan taklimat mengenai latar belakang Brunei Halal.

    Pengurus Operasi dan Pembangunan Perniagaan, Syarikat Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Dayang Suserena binti Haji Hashim, Ghanim International Corporation Sdn Bhd ditubuhkan untuk membangunkan jenama Brunei Halal di pasaran makanan dunia.

    Syarikat tersebut menjalankan sistem pengurusan rantaian bekalan menyeluruh bagi eksport makanan yang disahkan halal. Cara pengendaliannya adalah melalui proses pensijilan halal yang dilakukan di Brunei yang kemudiannya dibungkus dan dipasarkan di bawah jenama Brunei Halal.

    Dengan berbuat demikian, jelasnya lagi, Ghanim International Corporation memastikan bahawa pihaknya melaksanakan piawaian tertinggi dalam pengurusan keselamatan makanan.

    Dayang Suserena menerangkan mengenai perkembangan dan pembangunan Brunei Halal di Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom, serta proses pengimportan ke negara-negara lain.

    Sepanjang program pertukaran belia yang berlangsung selama 10 hari esok itu, rombongan juga telah berkesempatan mengadakan lawatan ke Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Pusat Pembangunan Belia, Universiti Brunei Darussalam, Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim, Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, Galeri Sukan, Sekolah Antarabangsa Brunei, Darussalam Enterprise (DARe), menyaksikan kemeriahan Bandarku Ceria dan sebagainya termasuk inap desa bersama keluarga angkat selama dua hari.

    Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea telah ditandatangani di bawah memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua buah negara pada tahun 2009 yang antara lain bertujuan untuk membantu dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua buah negara.

    Ia juga bertujuan bagi meningkatkan persefahaman dan kepercayaan kedua belah pihak melalui penyertaan belia dalam program berkenaan.

    Menerusi usaha itu, kedua-dua belah pihak percaya belia-belia akan memperoleh faedah daripadanya seperti persefahaman kebudayaan, ekonomi sosial dan politik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda