Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Belia Korea terpegun keunikan KB

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 4 SEPT – Sebagai sebahagian daripada program pertukaran anjuran Kedutaan Korea di Brunei Darussalam, 10 orang belia dari Korea Selatan telah mengadakan lawatan ke Daerah Belait hari ini.

    Kedatangan mereka disambut oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad.

    Dalam perjumpaan yang diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin telah memperkenalkan warisan dan tradisi yang terdapat di daerah tersebut serta tayangan video pendek yang mengetengahkan pelbagai mercu tanda ikonik di daerah itu.

    Para belia kemudiannya dibawa melihat persembahan gulintangan yang diadakan di bilik serba guna berdekatan kediaman.

    Selain itu, para belia juga menyaksikan satu majlis perkahwinan tradi-sional Brunei iaitu Majlis Berbedak di samping bertemu dengan penduduk tempatan yang mempamerkan kraf tangan dan produk mereka sebagai sebahagian daripada Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    Salah seorang belia dari Korea Selatan yang mengikuti program pertukaran anjuran Kedutaan Korea di Brunei Darussalam mencuba bermain gulintangan semasa lawatan tersebut. – Gambar oleh Daniel Lim
    Belia Korea berpeluang menghadiri Majlis Berbedak semasa lawatan ke Daerah Belait. – Gambar oleh Daniel Lim
    Salah seorang belia mempelajari lebih mengenai kuih tradisional Belait semasa kunjungan tersebut. – Gambar oleh Daniel Lim

    Mereka juga merasa pelbagai kuih dan masakan tradisional yang disediakan oleh ahli PERTIWI, yang turut berkongsi petua untuk menyediakan dan memasak hidangan berkenaan.

    Rombongan turut melawat Muzium Daerah Belait untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah serta industri minyak dan gas yang terkenal di daerah itu.

    Bercakap kepada salah seorang belia, Je Hyun Park berkata dia dapat mempelajari lebih lanjut tentang sejarah dan berasa kagum dengan industri minyak dan gas yang besar di Daerah Belait.

    Manakala ketua perwakilan belia, Sieun Park juga mengongsikan bahawa lawatan itu membuka matanya tentang budaya dan warisan unik yang terdapat di Kuala Belait.

    “Sejujurnya, walaupun mudah untuk mencari maklumat mengenai Brunei, namun kebanyakan maklumat yang terdapat dalam talian hanya berkaitan dengan Bandar Seri Begawan, jadi menyelidik tentang Daerah Belait boleh menjadi agak sukar.

    “Tetapi nasib baik kami dapat melawat Kuala Belait untuk merasainya sendiri, yang mana saya gembira dan bersyukur dengan peluang sebegini,” katanya.

    Program berakhir dengan kunjungan rombongan ke Tugu Billionth Barrel pada sebelah petang sebelum pulang ke ibu negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Banjir kilat bunuh 8, 23 askar hilang

    NEW DELHI, 5 OKT - Hujan lebat secara tiba-tiba mencetuskan banjir kilat kelmarin di timur laut India yang membanjiri beberapa bandar, menghanyutkan sebuah jambatan...