Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia Lubnan kembangkan minat dalam permainan catur

    Oleh Dana Halawi –

    BEIRUT – Moslem Nasrallah, 22, duduk di meja untuk dua orang, terlalu sibuk bermain papan catur China, merancang langkah-langkah strategik bersama kakaknya sebelum pertandingan di Institut Confucius di Universiti Saint Joseph (USJ) di Beirut.

    Walaupun baru-baru ini mempelajari cara bermain catur China, juga dikenali sebagai Xiangqi, Nasrallah memperoleh hadiah pertama dalam kategori pemula.

    “Saya berminat untuk meningkatkan kemahiran saya dan mengambil bahagian dalam pertandingan catur antarabangsa China,” katanya kepada Xinhua.

    Nasrallah berkata permainan catur yang dimainkannya sebelum ini memudahkan pemahaman pantasnya mengenai catur China dan menambah bahawa catur China lebih taktikal dan memupuk kemahiran pemikiran kritikal.

    Catur China semakin popular dalam kalangan belia Lubnan, yang mendorong kerjasama antara Institut Confucius di USJ dan Jawatankuasa Xiangqi di Lubnan untuk menganjurkan Kejohanan sulung Instiut Confucius Xiangqi, menarik kira-kira 70 peserta dari Lubnan dan China.

    Para peserta bertanding semasa kejohanan catur Cina Institut Confucius pertama di Beirut, Lubnan pada 7 Oktober. – Xinhua

    Elie Al-Mallah, seorang lelaki berusia 23 tahun dari Lubnan, yang belajar terjemahan bahasa China di Universiti Lubnan, menyatakan, “Saya percaya bermain catur China adalah sebahagian penting dalam memahami budaya China.” Al-Mallah tertarik kepada catur China kerana ia merangsang mentalnya, dengan pergerakan bidak yang berbeza daripada catur biasa dan gambarannya sebagai medan perang.

    Al-Mallah memerhatikan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa Lubnan mengenai kepentingan memahami budaya China, menggalakkan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti yang berkaitan dengan China.

    Johnny Abou Jaoude, 14, berkongsi keghairahannya terhadap catur China, yang ditemui dalam talian, dan penyertaan selama dua tahun dalam kelas dengan Jawatankuasa Xiangqi. “Saya suka peraturan dalam catur China,” katanya dengan bersemangat, mengungkapkan keinginannya untuk mempopularkan permainan ini di Lubnan dengan berkongsi dengan rakan-rakan.

    Elias Abou Jaoude, ketua Jawatankuasa Xiangqi di Lubnan dan penganjur pertandingan catur China USJ, mendedahkan bahawa jawatankuasa itu memberi tumpuan kepada mempromosikan catur China di sekolah melalui seminar, menekankan faedah kognitifnya untuk kanak-kanak.

    “Kami berhasarat untuk menjadikan acara ini sebagai tradisi tahunan bersama USJ, dan mengharapkan penyertaan yang lebih tinggi pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

    Liu Li, pengarah China di Institut Confucius, menekankan bahawa institut ini memperkenalkan kelas catur China untuk menampung mereka yang berminat untuk mempelajari permainan itu.

    Liu menekankan kepentingan menganjurkan pertandingan catur China di USJ, memupuk komunikasi dan persefahaman antara individu Lubnan dan China, membina persahabatan baharu, dan menggalakkan penghargaan yang lebih mendalam terhadap budaya China.

    Nisrine Abdel Nour Lattouf, pengarah Lubnan di Institut Confucius, menyatakan keghairahan yang semakin meningkat untuk catur China di Lubnan dan usaha berterusan untuk mengembangkannya. Dia menyatakan, “Ramai yang tertarik dengan budaya China kerana kekayaan, keunikannya, dan perspektif baharu yang dibukanya.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda