Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Belia Masjid Kampung Bengkurong dari Zon 3 telah memenangi Perlawanan Bola Sepak Piala Zain bagi Belia Masjid Senegara anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah yang diadakan selama dua hari, kelmarin dan hari ini.
Manakala tempat kedua telah disandang oleh Belia-Belia Masjid Kampung Pengkalan Batu dari Zon 1, dan Belia Masjid Daerah Temburong telah mendapat tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan pertandingan berkenaan serta menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Turut hadir ialah pengarah-pengarah, penolong-penolong pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan di KHEU.
Terdahulu, peserta belia-belia masjid yang menyertai Perlawanan Bola Sepak Piala Zain bagi Belia Masjid Senegara telah mengikuti program-program keagamaan yang disusun atur dan telah dimestikan untuk bermalam di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.

Program-program keagamaan yang telah diaturkan selama dua hari termasuklah Sembahyang berjemaah fardu Maghrib, Isyak, Subuh, membaca Ratib Al-Attas, mendengar ceramah agama, motivasi dan tazkirah Subuh.
Pada hari ini, mereka telah mengikuti perlawanan bola sepak yang bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara belia-belia masjid seluruh negara dan membimbing mereka agar melaksanakan acara kegiatan riadah/sukan mengikut peraturan yang diharuskan oleh Islam.
Perlawanan berkenaan berobjektif untuk menarik minat ahli jawatan kuasa masjid dalam mengikuti pelbagai aktiviti riadah yang diadakan di masjid-masjid.