Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Belia Mualaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia (PKB), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), kelmarin, telah mengungkayahkan Program Iftar Mahabbah 1446H/2025 di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Program Iftar Mahabbah itu merupakan kesinambungan daripada kertas kerja Bengkel Kesedaran Melalui Lawatan Masjid yang diungkayahkan bersama Urus Setia Program Keugamaan Belia dan Bahagian Pengembangan Dakwah (Dakwah Khas), PDI.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee.
Hadir sama ialah Presiden Persatuan Persahabatan Brunei-China, Dr Muhammad Firdaus bin Abdul Rahman.
Program juga bertujuan untuk memberi peluang kepada orang bukan Islam melihat masjid secara dekat dan mengetahui ibadah yang dilakukan oleh orang Islam seperti berwuduk dan sembahyang serta menanyakan sebarang kemusykilan terhadap agama Islam.
Di samping itu, sebagai kesempatan kepada masyarakat orang bukan Islam untuk melalui pengalaman sendiri iftar bersama pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Program juga sebagai metodologi dakwah dengan cara hikmah kepada orang bukan Islam serta melengkapi pemandu pelancong dengan pengetahuan asas dakwah.
Pada sesi Program Masjid Tour, bacaan Sayyidul Istighfar memulakan majlis dan diikuti dengan penyampaian taklimat ringkas mengenai Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan diikuti dengan sesi lawatan masjid mengikut kumpulan masing-masing.
Dalam Program Iftar Mahabbah, acara diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan tazkirah menjelang sungkai.






