Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Belia Muallaf Asy-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Agama telah menganjurkan Program Masjid Tour Ke-2 Tahun 2025 di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, kelmarin.
Pusat Da’wah Islamiah sekali lagi melaksanakan Program Masjid Tour bagi kali yang kedua tahun ini bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-79 Tahun.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis, Pengarah Urusan Brunei Gas Carriers Sdn Bhd Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan sesi menandatangani papan tanda dan penyampaian cenderahati.
Kemudian pengunjung dibawa melawat sekitar masjid termasuk ruang utama solat, tempat berwudhu serta beberapa sudut khas seperti Kid’s Corner, Hijab dan Sarong Corner, Jawi Corner, Khat Corner, Al-Qur’an Corner dan “Spoken Barakah: Hidden Words We Say” Corner.
Program ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan lebih mendalam mengenai da’wah serta menzahirkan corak kehidupan Islam di Negara Brunei Darussalam, khususnya kepada masyarakat bukan Islam.
Antara objektif lain adalah dengan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk melihat masjid secara dekat, mengenali ibadah-ibadah yang dilakukan oleh umat Islam serta membuka ruang untuk berinteraksi bagi membetulkan sebarang salah faham mengenai Islam.
Di samping itu, program ini turut memberi galakan kepada para belia untuk tampil berani menyampaikan maklumat berkaitan masjid dengan cara yang menarik, tepat dan berkesan.
Program Masjid Tour yang berunsurkan program muhibah kepada para pelancong, khususnya pelancong bukan beragama Islam merupakan salah satu metodologi dakwah dan produk pelancongan di negara ini.
Beberapa buah masjid di negara ini telah berpotensi menjadi tempat tarikan pelancong sama ada yang beragama Islam mahupun bukan beragama Islam dari dalam dan luar negara.
Antara masjid yang sering menjadi tumpuan pelancong, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah.
Program berkenaan dikendalikan oleh Pusat Da’wah Islamiah melalui Urus Setia Program Keugamaan Belia dan Unit Da’wah Khas, Bahagian Pengembangan Da’wah dengan kerjasama Belia Muallaf As-Syahadah dan disokong oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.







