Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Menggalas satu tanggungjawab yang begitu besar untuk mengetuai 20,000 orang rakyat bagi bacaan ikrar semasa Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41) adalah pengalaman yang begitu bermakna bagi Awang Zahirul Ghazi bin Haji Jomari, 28, dari Bank Islam Brunei Darussalam.
Selain melahirkan rasa bersyukur, beliau berbangga kerana diberi kepercayaan menjadi pembaca utama ikrar Hari Kebangsaan yang merupakan sesuatu penghormatan yang sangat tinggi bagi dirinya.
Beliau ketika ditemu bual sejurus ditemui pada Upacara Perhimpunan Agung Sambutan HK-41 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini, turut menambah, “Kami sepasukan seumpama menjadi suara rakyat, dalam berikrar demi raja dan negara.”
Menyentuh mengenai persiapan diri dalam menyampaikan bacaan ikrar berjalan lancar, beliau bersama peserta kumpulan ikrar yang lain telah menjalani latihan intensif selama sebulan setengah yang diadakan lima hari dalam satu minggu.
Selain itu beliau mengongsikan latihan tersebut meliputi latihan vokal, kawad dan juga tarian, yang mana jurulatih mereka yang terdiri daripada kalangan alumni pasukan ikrar Hari Kebangsaan terutama Ketua Jurulatih, Haji Muhamad Khairul Bahrin bin Haji Durahman.
“Pengalaman mereka inilah menjadi panduan untuk kami dapat menyampaikan setiap patah ayat yang dilontarkan penuh semangat dan keikhlasan,” tambahnya.
Sebagai belia negara, beliau percaya dengan tema sambutan Bersatu Mencapai Cita Negara dan selaku rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mempunyai peranan yang sangat penting dalam membangun negara tanpa mengira umur dan jawatan.
“Negara akan dapat capai cita-cita dengan berkongsi kemahiran, komunikasi yang mampan dan bersatu dalam menghadapi apa juga cabaran,” jelasnya.
Selaku belia negara juga, beliau akan berusaha dengan lebih gigih lagi bagi mencapai cita-cita negara dengan harapan dapat menjadi inspirasi dan memberi semangat kepada belia yang lain supaya terus maju dalam membangun negara tercinta.
