Belia peduli warga emas

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Dua kumpulan belia yang menjalani latihan di Green Brunei dan Majlis Belia Brunei, baru-baru ini, telah meluangkan masa bersama warga emas sebagai sebahagian daripada aktiviti kesukarelawanan.

Kumpulan pertama telah mengunjungi sebuah rumah di Kampung Pulaie milik seorang wanita warga emas berusia 70 tahun yang tinggal bersama anak lelakinya berusia 28 tahun dan anak perempuan berusia 20 tahun.

Tujuh sukarelawan daripada kumpulan berkenaan membantu membersihkan kawasan luar rumahnya dan memberikan keperluan asas seperti beras, barangan kebersihan dan air kepada keluarga berkenaan.

Manakala itu, kumpulan kedua pula mengunjungi sebuah rumah di Kampung Salambigar milik seorang lelaki berusia 72 tahun yang di bawah sokongan Baitul Mal.

Kumpulan sukarelawan berkenaan membantu membersihkan ruang dalam rumah warga emas berkenaan dan menyumbangkan beberapa keperluan termasuk tilam dan kipas.

Menurut kenyataan yang diberikan, kunjungan berkenaan bertujuan untuk memastikan warga emas dipeduli dan mempunyai keperluan asas serta meluangkan masa bersama mereka.

Sukarelawan belia bergambar ramai bersama warga emas semasa kunjungan berkenaan.