Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Beberapa orang ahli Persatuan Kikik Negara Brunei Darussalam (PEKIKIK) kini berada di Pasir Gudang, Johor bagi menyertai Pesta Layang-Layang Sedunia kali ke-22 tahun 2017 dan rombongan itu diketuai oleh pengerusi PEKIKIK, Haji Maidin bin Haji Ahmad.
Peserta kikik dari Negara Brunei Darussalam diwakili oleh dua orang belia iaitu Awang Mohammad Syahrul Nizam bin A. Hamidun dan Awang Mohammad Nazrol Nizam bin A. Hamidun yang beraksi dalam pertandingan menaikkan Rokkako, di mana mereka telah mendapat markah penuh 20/20 dan dalam pertandingan menaikkan Wau Bulan pula telah mendapat markah 15 / 20.
Menurut Pengurus Belia, Haji Mohammad Isa bin Haji Marsidi yang juga selaku Timbalan Setiausaha Agung PEKIKIK menyatakan beliau berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua peserta belia ini, walaupun mereka ini tidak pernah menjalani latihan menaikkan Rokkako dan Wau di tanah air.
Beliau berasa amat berbangga kerana amanah dari PEKIKIK telah beliau tunaikan dan peserta belia yang dipilih tidak mengecewakan, malahan dapat mengharumkan nama negara.
Malah turut menyatakan harapan supaya lebih ramai warga Brunei akan tampil menyertai PEKIKIK kerana ketika ini jumlah penyertaan dan keahlian dalam PEKIKIK masih pada jumlah yang kecil.
Sebanyak 40 buah negera telah menyertai pesta ini, di antaranya adalah Australia, Austria, Bhutan, Brazil, Kemboja, China, Kanada, Curacao, England, Estonia, Perancis, Jerman, Hong Kong, Jepun, Ukraine, Amerika Syarikat, Indonesia, Itali, Rusia, Scotland, Laos, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Sweden, Poland, Thailand, Turki, Wales, Vietnam, Malaysia dan Brunei Darussalam.
Dalam kejohanan yang diadakan itu, telah memperlihatkan layang-layang dinyalakan lampu LED yang amat menarik dan malah layang-layang tersebut tidak menggunakan tali tetapi ianya menggunakan alat kawalan jauh.