Thursday, February 6, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia pelajari cara memproses nuget, sosej

    Oleh Nurdiyanah R.

    TUTONG, 29 MAC – Dengan hasrat untuk sama-sama meningkatkan daya kemahiran khususnya dalam pemprosesan produk makanan, Persatuan Belia Kesuma Kampung Bukit Beruang telah mengadakan Bengkel Penyediaan Makanan Beku di Pusat Belia Daerah Tutong, baru-baru ini.

    Bengkel yang dikendalikan bersama dengan Komuniti Sukarelawan Mengkubau itu telah disertai 10 orang peserta dari Daerah Tutong dan Daerah Belait serta menumpukan dalam aspek penyediaan makanan beku nuget dan sosej.

    Para peserta yang terlibat mempelajari cara dan teknik mengadunkan bahan-bahan resipi nuget dan sosej secara keseluruhan dengan ditunjuk ajar oleh salah seorang cef tempatan, Awang Sawal bin Idris.

    Turut hadir bagi meninjau bengkel berkenaan ialah Penolong Penyelia Pusat Belia cawangan Daerah Tutong, Awang Ibrahim bin Haji Sabli dan Yang Di-Pertua Persatuan Belia Kesuma Kampung Bukit Beruang, Haji Salamat bin Sauji.

    Pengerusi bengkel, Haji Hairul Azri bin Haji Salamat menjelaskan bahawa bengkel berkenaan bukan hanya untuk menambah pengetahuan dalam bidang kemahiran masakan malah bagi meningkatkan semangat keusahawanan dalam diri para belia tanah air sehingga mereka akan dapat berkongsi ilmu yang diperolehi berkenaan kepada ahli keluarga yang lain.

    Dengan kata lain, menerusi bengkel ini, tambah beliau, para peserta yang terlibat bukan sahaja dapat mengetahui dan menguasai bagaimana untuk membuat makanan beku nuget dan  sosej tetapi  secara tidak langsung mereka jua mampu mencetuskan ilham dan juga mengembangkan minda mereka untuk berjinak-jinak dalam dunia berjual beli suatu hari nanti dengan mengambil manfaat dari kemahiran asas yang mereka peroleh selama ini dan mengusahakannya sebagai salah satu produk perniagaan mereka.

    Sehubungan itu, bengkel kemahiran seumpamanya telah diadakan sejak 2019 yang mana ia telah melibatkan lebih 50 belia daripada pelbagai peringkat umur. Antara aktiviti yang pernah dijalankan ialah pembuatan doh roti canai, roti bun, fish finger, dan juga tidak ketinggalan bengkel kemahiran livecook.

    Dalam pada itu, bengkel berkenaan juga akan diadakan lagi di Pusat Belia, Daerah Temburong pada awal April depan dan sebarang pertanyaan berkaitan dengan bayaran penyertaan dan pendaftaran hendaklah menghubungi talian 8169901.

    Belia dari Daerah Tutong dan Belait ketika mempelajari cara pengadunan tepung semasa menyertai Bengkel Penyediaan Makanan Beku Nuget dan Sosej di Pusat Belia DaerahTutong, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda