Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia pelajari hijrah dalam diri

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada belia-belia masjid di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini menyertai program keagamaan dengan tema Hijrah Getaway! Bekalan Hijrahku yang diungkayahkan oleh Belia Masjid Senegara dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Masjid Pg Abdul Malik Kampong Tungku dan Masjid Ash-Shaliheen bersempena menyambut awal tahun hijrah 1446H.

    Program dijalankan selama dua hari iaitu dari 6 hingga 7 Julai yang diadakan bermula pada waktu petang di Masjid Pg Abdul Malik Kg Tungku dan berakhir pada waktu malam di Masjid Ash-Shaliheen.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid.

    Di antara aktiviti dan pengisian dalam program ini adalah forum dan ceramah bersempena awal tahun Hijrah, Explorace Kenali Negara Kitani yang berlangsung di Pekan Bangar, Temburong.

    Sebahagian daripada aktiviti program berkenaan.

    Program juga turut diisi dengan program khidmat masyarakat dan ramah mesra di Rumah Panjang Sumbiling Lama, Daerah Temburong dan penyerahan sumbangan dan barang asasi kepada 8 keluarga muallaf.

    Sebahagian dari peserta sedang mengikuti pengisian program berkenaan.

    Sebagai sebuah negara zikir, program ini bertujuan agar para belia dapat mempersiapkan diri daripada segi mental dan fizikal dalam penghijrahan diri dan perubahan diri ke arah lebih baik dan berpengetahuan Islam.

    Dengan adanya bengkel kerohanian, latihan dalam kumpulan dan aktiviti kemasyarakatan serta kemahiran diri dapatlah para belia keluar dari zon selesa dengan melihat keadaan dunia luar.

    Gambar ramai para peserta dan penduduk rumah panjang semasa program itu.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda