Belia pemacu pembangunan negara

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Belia daripada majlis perundingan kampung (MPK) dan belia-belia masjid, bersama pergerakan belia secara umum di seluruh negara, memainkan peranan menjadi pemacu untuk mencontohi teladan yang baik dan membantu mengurangkan gejala sosial dari semua lapisan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku tetamu kehormat menyentuh perkara itu semasa menyampaikan ucaptama pada sesi dialog yang diadakan secara maya, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut menekankan kepentingan sesi dialog dan mengalu-alukan input untuk golongan belia menyumbang kepada pembinaan negara dan seterusnya mencapai Wawasan Belia.

Ini kerana belia MPK dan belia-belia masjid mempunyai kepentingan dalam pembangunan masyarakat, terutama sekali dalam pemedulian masyarakat sekeliling.

Sesi dialog yang disertai oleh 60 peserta daripada belia MPK dan kumpulan belia masjid dari keempat-empat daerah itu dianjurkan DBNS Youth Advisory Group dengan kerjasama Majlis Belia Brunei (MBB).

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa menyampaikan ucaptama pada sesi dialog yang diadakan secara maya, kelmarin. – Gambar serahan Youth Advisory Group

Turut hadir ialah Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, selaku pengerusi DBNS Youth Advisory Group dan yang di-pertua MBB; Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, setiausaha-setiausaha tetap serta pegawai-pegawai daerah.

Antara lain tujuan sesi dialog ini adalah untuk memperkenalkan DBNS 2020-2035 kepada belia berumur di antara 15 dan 35 tahun.

Selain dialog berkenaan juga bermatlamat untuk meningkatkan kese-daran tentang program-program dan inisiatif belia serta mendapat input dan pandangan belia bagi perkembangan negara.

Sesi dialog diteruskan dengan pengenalan DBNS 2020-2035 oleh Dr Mohammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Wakil rakan strategik yang terdiri daripada sektor kerajaan dan badan berkanun juga turut hadir untuk memberikan sedikit pengenalan mengenai peranan mereka serta program dan perkhidmatan yang disediakan bagi pembangunan belia.

Antara wakil-wakil tersebut terdiri daripada Dayang Fatin Muzini dari Darussalam Enterprise (DARe), Awang Mohammad Ashmeer Imtiaz Ahmad dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS dan Dayang Siti Nadzirah binti Haji Abdullah dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.

Peserta kemudiannya dibahagikan bagi aktiviti berkumpulan bagi sesi perbincangan dan di antara cabaran yang dikenal pasti oleh peserta-peserta yang hadir adalah kekurangan minat belia untuk mengikuti aktiviti kampung.

Selain kekurangan insentif daripada pihak kerajaan atau swasta untuk mengalu-alukan penyertaan dalam MPK dan kumpulan belia masjid, kurang sokongan daripada ibu bapa untuk ikut serta dalam MPK dan kumpulan belia masjid, kurang keberanian di kalangan belia dalam menyuarakan pandangan.

Di samping kekurangan pengetahuan tentang MPK dan kumpulan belia masjid bagi para belia yang tidak mempunyai akses internet.

Pada sesi dialog berkenaan, peserta juga mengemukakan pelbagai cadangan termasuk pemberian anugerah untuk menarik minat belia, menawarkan latihan dan bengkel kemahiran belia dalam peringkat majlis perundingan kampung serta meningkatkan kapasiti keusahawanan melalui bengkel.

Selain mengadakan kursus dan latihan yang bersesuaian; membanyakkan kursus fardhu kifayah untuk para belia dan perlunya bagi Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk mengambil peranan yang lebih kuat dalam membimbing belia-belia masjid.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa pada sesi penutup dialog berkenaan juga menyuarakan akan kepentingan kolaborasi di kalangan MPK-MPK belia dan juga kumpulan-kumpulan masjid belia dalam mencapai hasrat tujuan masing-masing.

Disamping menggalakkan belia untuk bekerjasama dengan badan-badan yang sedia ada seperti Majlis Belia Brunei bagi meningkatkan kapasiti masing-masing.

Ini merupakan sesi jangkauan belia ke-13 yang dikendalikan oleh Youth Advisory Group bagi mengumpul input dan maklum balas daripada belia untuk kerjasama seluruh negara.

Dengan mengadakan program pemberigaan seperti ini, adalah diharapkan ianya dapat membina belia yang berakhlak mulia dan bertaraf dunia berpandukan Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035.