Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muízzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa generasi belia masa kini memiliki semangat dan potensi kepimpinan yang tinggi.
Transformasi positif yang ditunjukkan oleh golongan belia telah memberi gambaran jelas mereka sanggup menggalas tanggungjawab yang berat selaku pemimpin.
“Perkara ini penting dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035, di mana kerajaan beta sentiasa komited dalam memperkasa belia dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk berkembang,” tekan Baginda semasa berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-20, di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.
Titah Baginda lagi, bagi mencapai wawasan negara yang semakin mendekat, belia turut memainkan peranan penting sebagai Pemacu Transformasi Ekonomi.
Baginda juga gembira melihat terdapat perubahan ‘mindset’ dalam kalangan belia sekarang yang sudah berani beralih daripada pencari kerja kepada pencipta peluang pekerjaan dengan meneroka bidang keusahawanan dan perniagaan.
Dalam bidang keusahawanan, Baginda menyedari antara cabaran utama yang dihadapi ialah kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan bagi memulakan perniagaan.
“Situasi ini lebih dirasakan oleh golongan belia yang tidak mempunyai rekod prestasi perniagaan dan sumber cagaran,” titah Baginda.

Ke arah itu, Baginda dalam titahnya memaklumkan skim pembiayaan mikro patuh-syarak telah diwujudkan dan ini khusus bagi usahawan belia, hasil kolaborasi strategik antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan Bank Usahawan Berhad.
Skim ini, titah Baginda lagi, dinamakan ‘BizBelia’ dan memberikan peluang kepada pengusaha belia tempatan untuk mendapatkan sumber kewangan daripada institusi kewangan tempatan.
Inisiatif ini diharap dapat merangsang pertumbuhan dan perkembangan perusahaan belia tempatan dan menjadi teladan kepada institusi kewangan lain ke arah memudah cara penglibatan lebih ramai para usahawan belia.
Baginda turut menaruh harapan tinggi inisiatif itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia di negara ini dalam sama-sama meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Beta turut menaruh keyakinan dengan adanya bimbingan serta sokongan padu daripada pihak berkenaan, usahawan belia akan mampu menyerlah bukan sahaja di peringkat kebangsaan tapi juga di peringkat antarabangsa,” tekan Baginda.
Dalam masa yang sama, Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap eksploitasi golongan belia oleh sindiket jenayah yang menawarkan ganjaran lumayan.
“Beta difahamkan adanya penglibatan beberapa belia tempatan dalam kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan yang didalangi oleh kumpulan pengedaran dadah antarabangsa,
“Beta juga amat prihatin akan perkembangan di negara jiran di mana terdapat sebilangan golongan belia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
“Gejala ini, bukan sahaja mengancam masa depan belia, tetapi juga keselamatan dan keharmonian masyarakat dan usaha membanteras sindiket berkenaan wajar diperkukuh melalui pendekatan menyeluruh, meliputi pendidikan, serta kesedaran, penguatkuasaan undang-undang dan sokongan komuniti,” tegas Baginda.
Baginda juga menekankan agar para belia wajar diseru untuk memperkukuh jati diri melalui ilmu agama serta nilai Melayu Islam Beraja untuk mempertahankan masa depan cemerlang dan bermartabat.
Belia juga wajar diseru supaya sedia bekerjasama dengan semua golongan masyarakat termasuk warga emas untuk sama-sama mencorak masa depan negara yang harmoni.
Di akhir titah, Baginda mengucapkan tahniah kepada semoga golongan belia di negara ini atas komitmen untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.
Baginda turut menghargai segala usaha dan sumbangan golongan belia dalam pelbagai bidang, kerana belia adalah tonggak harapan bagi masa depan yang gemilang.

