Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia pemangkin kemajuan negara

    Oleh Haniq Raffael

     

    KITA sering mendengar bahawa belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Kita juga sedar bahawa belia juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

    Maju atau mundurnya sesebuah negara itu bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan para belia dalam mencapai pembangunan negara lebih-lebih lagi dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.

    Bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-34 pada tahun ini, para belia di negara ini perlu bergiat aktif dan bersatu padu di dalam menjaga dan mempertahankan Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat yang berkualiti dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

    Ke arah itu, belia-belia hendaklah meningkatkan lagi usaha dalam bidang masing-masing melalui pencapaian-pencapaian seperti pengeluaran produk, penciptaan projek, melibatkan diri di dalam bidang niaga baik secara kecil-kecilan sekalipun dan seumpamanya ataupun menghasilkan pendekatan-pendekatan baharu yang berupaya memberikan penyelesaian yang terbaik terhadap cabaran atau masalah yang dihadapi.

    Keterlibatan para belia sebagai pemangkin transformasi dalam proses transformasi negara adalah penting. Perubahan, penghijrahan dan transformasi adalah kemestian dalam usaha menuju negara yang maju dan dinamik. Ia memerlukan asas-asas dan pendekatan yang sesuai bagi mencapai cita-cita tersebut. Namun peranan belia hari ini bukan sekadar meningkatkan kerjaya diri dan mencari kesenangan harta, tetapi juga berusaha membangunkan negara ke landasan yang seimbang dan maju dalam acuan kita sendiri.

    Belia berwawasan merupakan harapan bangsa dan negara di dalam merealisasikan impian negara mencapai kejayaan wawasan negara 2035.
    Awang Safwan, Awang Firdaus dan Dayang Haiqah, tiga sahabat berlainan kelulusan, memilih usaha perniagaan kecil-kecilan dalam menyahut seruan kerajaan.

    Ketangkasan berfikir dan kesihatan yang sangat optimum di zaman belia harus dimanfaatkan ke jalan yang benar dan berintegriti. Tepat dengan tema Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-34 pada tahun ini ‘Menjayakan Wawasan Negara’, maka kita begitu memerlukan tenaga dan juga sumbangan belia negara kita kerana sesebuah negara yang merdeka memerlukan setiap warganegaranya bersifat patuh dan taat terhadap program-program yang diatur yang memberi manfaat untuk membangunkan negara dalam semua bidang.

    Kepatuhan terhadap membangunkan kualiti modal insan yang berkualiti menjadi pra syarat kepada pembangunan negara itu sendiri. Tanpa kualiti ilmu dan akhlak yang baik, tidak mungkin acuan pembangunan negara akan berjalan atas landasan yang seimbang.

    Untuk membimbing belia kita agar mampu menjayakan wawasan negara kita juga begitu menitikberatkan kepada belia yang berjiwa kekhalifahan dan akan sentiasa mempunyai jiwa yang mempunyai kesedaran yang mendalam bahawa pengurusan itu adalah suatu amanah dan dikaitkan dengan ibadah dan barakah. Jiwa kekhalifahan yang ditunjangi dengan jiwa kehambaan yang tinggi akan memerdekakan negara daripada kejahilan dan kemunduran dan ianya bakal membina negara kita ke arah negara yang maju dalam acuan kita sendiri.

    Oleh itu para belia harus insaf dan sedar bahawa pembangunan potensi diri menjadikan belia berwawasan adalah suatu perkara yang amat penting dalam menjana kemajuan negara. Belia yang berketerampilan dan berwawasan pada dasarnya mempunyai kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat, sedia berkorban serta memahami prinsip kebenaran, meyakininya dan menghormatinya.

    Merenung peranan belia di zaman Rasulullah, tidak dapat dinafikan bahawa belia menjadi tonggak utama perjuangan Rasulullah. Dalam sejarah perkembangan Islam, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Oleh itu terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian semua pihak agar potensi golongan belia dapat dibangunkan secara menyeluruh dan sistematik.

    Para pelajar Negara Brunei Darussalam yang berada di Dunedin New Zealand yang bakal memangkin wawasan negara.

    Golongan belia harus diterapkan dengan nilai-nilai Islam dan murni kerana dalam peringkat muda ini jugalah minda golongan belia dan remaja amat terdedah kepada pengaruh baru. Tanpa asas agama dan nilai murni, watak belia dan remaja terutamanya remaja Islam akan mengalami arus keciciran.

    Selain itu, dalam mendepani arus globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam, menuntut ilmu dan memajukan diri telah menjadi suatu kewajipan demi mempertahankan agama dan umat. Pendidikan yang bersepadu yang menggabungkan kepentingan menuntut ilmu ukhrawi dan duniawi adalah amat penting supaya kehidupan umat Islam bertambah lebih baik dan dalam masa yang sama ajaran Islam tidak dipinggirkan.

    Kerjasama dan perpaduan

    Kerjasama antara badan-badan pertubuhan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga amat penting supaya potensi golongan belia dan remaja dapat dibimbing dan disalurkan ke jalan yang betul malahan media cetak dan elektronik turut memainkan peranan yang mustahak dan perlu menunjukkan contoh yang baik dalam menampilkan laporan yang lebih bersifat membina daripada bersifat memusnahkan.

    Rencana-rencana yang memberi inspirasi, bersifat intelektual dan membina minda belia juga harus disajikan dalam pelbagai platform contohnya belia yang melibatkan diri mereka dengan kerja-kerja perniagaan walau perniagaan kecil-kecilan sekalipun, hobi belia yang mampu membawa kepada minat membina perniagaan dan dapat menarik perhatian dan hati para belia lainnya.

    Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan dalam pembangunan belia. Namun ia memerlukan tanggungjawab dan usaha semua pihak dalam menjayakannya. Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai penggerak kemajuan negara, golongan belia perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

    Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan sekali gus mampu menjayakan wawasan negara 2035 kepada negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda