Belia penerus industri tani

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Belia sebagai generasi penerus perlu memainkan peranan yang lebih signifikan dalam menceburi, menaiktarafkan dan mengembang majukan industri pertanian yang berskala ekonomi, berteknologi tinggi serta memodenkan industri asas tani.

Walaupun beberapa program pendidikan dan latihan belia dalam industri pertanian telah dilaksanakan, kadar penglibatan belia dalam sektor pertanian dan agrimakanan masih rendah dan berhadapan dengan pelbagai cabaran yang merumitkan usaha untuk menggalakkan lebih ramai belia berkecimpung dalam industri ini.

Perkara ini ditekankan oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Zainab binti Haji Morshidi semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Meningkatkan Penglibatan Belia Dalam Aktiviti Pertanian dan Agrimakanan Yang Lestari: Cabaran dan Solusi’ pada hari ketiga seminar sempena Majlis Ilmu 2018 di Bilik Sepakat 4 dan 5, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Dalam pembentangannya itu, beliau menjelaskan bahawa cabaran utama yang dihadapi oleh belia dalam menceburi sektor berkenaan termasuk persepsi negatif kepada industri tersebut, kekurangan akses kepada sumber tanah dan kewangan serta pasaran.

Cabaran-cabaran tersebut, menurutnya, perlu diatasi antara lainnya dengan mewujudkan ekosistem yang kondusif kepada penglibatan belia dan dengan membuat kajian semula mengenai amalan-amalan terbaik dan program-program seperti peladang muda serta kaedah pertanian murah dan mudah yang dihasratkan dapat menggalakkan lebih ramai penglibatan belia dalam industri pertanian dan agrimakanan secara inklusif, mudah, berskala ekonomi, moden dan berteknologi tinggi serta mampu menyumbang kepada menjana ekonomi belia khasnya dan negara amnya.

Pengurus Syarikat Marsya Farm membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pandangan Saya Sebagai Agropreneur, Mengapa Pertanian Kurang Popular Dalam Kalangan Belia Brunei’.
Hajah Zainab semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Meningkatkan Penglibatan Belia Dalam Aktiviti Pertanian dan Agrimakanan Yang Lestari: Cabaran dan Solusi’.
Antara yang hadir mendengarkan sesi seminar tersebut.

Pada sesi seminar bertema ‘Penglibatan Masyarakat Khasnya Belia di Dalam Sektor Pertanian’ itu, Pengurus Syarikat Marsya Farm, Haji Awang Muliadi bin Moksin pula telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pandangan Saya Sebagai Agropreneur, Mengapa Pertanian Kurang Popular di Kalangan Belia Brunei’.

Menurut beliau, industri tersebut kurang popular disebabkan beberapa faktor seperti kurangnya pendidikan awal di peringkat sekolah, peranan kerajaan dalam mendedahkan ilmu pertanian, persepsi masyarakat kepada pertanian dan akhir sekali ialah faktor pemasaran.

Menurut beliau, sokongan padu daripada semua pihak dalam memainkan peranan yang sangat penting demi merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menaik taraf kehidupan rakyat khasnya dan ekonomi negara amnya dan sekaligus akan melahirkan rakyat yang berkemahiran tinggi menjelang tahun 2035 di dalam semua bidang termasuklah di dalam bidang pertanian dan agrimakanan.

Turut membentangkan kertas kerja pada sesi keenam yang dimudahcarakan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Penerbitan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah itu ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrome IQ International Sdn Bhd, Dr Vanessa Teo.

Beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Platform Untuk Pendidikan Generasi Muda Menjadi Peladang Moden’ dengan menjelaskan bahawa cabaran bagi industri pertanian adalah kekurangan petani muda, kekurangan pasaran, dan kekurangan memakai teknologi dan data analitik bagi membuat keputusan ladang.

Oleh itu, beliau telah menyediakan jalan penyelesaian bagi masalah tersebut dengan membangunkan teknologi yang membantu pengurusan ladang iaitu Agrome: Farm Manager.

Selain itu, mereka juga mengajar sekolah-sekolah menerusi program farm-to-school dan telah mengajar lebih 800 orang pelajar mengenai proses pertanian yang lebih mudah.

Agrome: Farm Manager adalah platform yang membantu komunikasi lebih baik antara majikan dan pekerja; membantu penyimpanan rekod; pembahagian kerja yang lebih baik dan berkesan; pengemaskinian yang cepat; dan membantu peladang mendapatkan Brunei GAP.

Manakala itu, Pengurus Ladang Syarikat Ameenfarm Agrotech and Trading, Haji Irwandy bin Haji Lois pula membentangkan tajuk ‘Meremajakan Industri Pertanian Melalui Penglibatan Belia’.

Menurut Haji Irwandy, galakan dan program khas inspirasi pertanian hendaklah diwujudkan untuk belia.

Para belia juga mesti juga didedahkan mengenai peluang-peluang yang ada dalam industri pertanian ini selain daripada menjadi peladang sahaja.

Dengan adanya program berkenaan, beliau berkata, para belia akan mendapat inspirasi dan akan mempunyai aspirasi bergiat dalam industri tersebut.

Haji Irwandy berharap penglibatan belia dalam industri tersebut dapat mewujudkan pekerjaan baharu dan mempelbagaikan ekonomi serta meningkatkan pendapatan negara.