Belia pentingkan minat – Don Nazwim

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Golongan belia kini lebih mementingkan minat daripada kestabilan dalam menentukan masa depan mereka, kata Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur Don Nazwim Don Najib.

Beliau berkata mereka mempunyai minda yang berbeza dalam meneruskan kerjaya mereka.

“Sebagai contoh, seorang siswazah Harvard yang balik negara ini bekerja dengan syarikat multinasional, tetapi tidak lama kemudian, berhenti kerja untuk terlibat dalam perniagaan mengubah suai perabot.

“Apa yang dilakukannya adalah kerana minatnya, dan tidak menganggap dirinya sebagai ahli perniagaan. Oleh itu, tidak menjadi sebahagian daripada statistik pekerjaan. Ini tidak bermakna dia tidak bekerja,” katanya dalam temu bual dengan Bernama. Don Nazwim, yang juga ahli jawatankuasa Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia, berkata demikian sebagai mengulas statistik Bank Negara Malaysia yang menunjukkan kadar pengangguran negara meningkat.

Menurut laporan berkenaan, kadar pengganguran beliau dianggar mencecah 10.7 peratus pada 2015, melebihi tiga kali ganda berbanding purata kadar pengangguran negara sebanyak 3.1 peratus, berikutan kelembapan dalam pengambilan pekerja sejak akhir tahun 2014.

Don Nazwim berkata angka berkenaan mungkin tidak mengambil kira mereka yang bekerja sendiri dan mendakwa angka berkenaan dikira berdasarkan pekerja yang mempunyai pekerjaan pejabat. Beliau berkata perspektif generasi muda hari ini dan cara mereka melihat dunia telah berubah secara beransur-ansur memandangkan mereka lebih suka mengejar minat daripada kestabilan.

“Ini adalah fenomena global dan dengan kehadiran teknologi canggih, keadaan menjadi lebih mudah dan lebih efisien.

“Ini adalah peralihan dalam pemikiran sosial belia di mana ia bukan lagi mengenai mendapat ijazah, mendapat pekerjaan pejabat, memiliki rumah, berkahwin dan seterusnya,” katanya.

Don Nazwim berkata pemasaran tradisi semakin pudar, manakala pemasaran digital semakin berkembang, didorong sepenuhnya oleh generasi muda. – Bernama